Diterbitkan pada 4 Oktober 2023, 20:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Konsep ABC, iaitu “Anak yang Baik lagi Cerdik” yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia adalah bertujuan untuk memperkasa konsep kemenjadian murid di sekolah yang meliputi semua aspek.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah:

Pelajar perlu meneroka pelbagai kaedah belajar bagi menarik minat belajar antaranya dengan menyediakan jadual waktu belajar kerana langkah ini dapat mengimbangkan pembahagian masa terhadap pelbagai jenis aktiviti yang akan dilakukan, sekiranya dipatuhi secara berkesan.

Titah baginda, motivasi diri adalah penting untuk berjaya terutamanya ketika belajar. Pelbagai ungkapan motivasi boleh ditulis dan dipahatkan dalam diri pelajar dan motivasi ini harus sentiasa segar dalam ingatan pelajar sepanjang masa.

Raja Muda Perlis turut bertitah bahawa kaedah peta minda didapati lebih efektif berbanding kaedah biasa kerana teknik ini dapat menyeimbangkan penggunaan otak kiri dan otak kanan. Malah, peta minda juga sesuai digabungjalinkan bersama alunan muzik.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra mencemar duli berangkat ke SMK Putra, Kangar.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 bagi Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra yang dihadiri oleh 500 orang pelajar anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri di Kangar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra, Datuk Johari Mohd Darus; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Pengetua SMK Putra, Azzuadi Jusoh.

Menurut Azzuadi, sekolah ini sangat cemerlang dalam bidang kokurikulum. Sebagai rekod, unit beruniform Pandu Puteri sekolah ini telah berjaya merangkul tempat kedua dalam Pertandingan Kawad Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis.

DYTM Raja Muda Perlis bersama-sama dengan DYTM Raja Puan Muda Perlis berkenan mendengar penerangan daripada pihak sekolah.

Seorang pelajar tingkatan tiga sekolah ini pula telah mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan dalam Kejohanan Bakat Kebangsaan Sukan Menembak Remaja dan melakar kejutan apabila membawa pulang pingat emas bagi kategori 10 Meter Air Rifle.

Sukan bola baling sekolah turut menempa kejayaan apabila berjaya memperoleh tempat kedua dalam Kejohanan Bola Baling MSSPs Peringkat Negeri Perlis dan lima orang pemain SMK Putra telah terpilih untuk mewakili Perlis ke Kejohanan Bola Baling Peringkat Kebangsaan.

Seorang pelajar yang mewakili kelab Malaysiaku juga terlibat dalam Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Perlis dan telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut.

SMK Putra turut melahirkan beberapa orang anak seni tempatan, antaranya ialah Khai Bahar dan Aweera.

Azzuadi turut menjelaskan bahawa kelas aliran muzik sekolah ini sangat aktif dan kerap menempa pelbagai kejayaan. Antaranya termasuklah Johan Pertandingan Puisi dan Lagu Peringkat Kebangsaan 2018, Johan Gamelan Fiesta Angin Timur Peringkat Negeri Perlis, Johan Pertandingan Band Sekolah-sekolah Negeri Perlis 2018, Johan Puisi Lagu Negeri Perlis 2019 dan Naib Johan Orkestra Kebangsaan 2017 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pencapaian dari segi Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) pula cemerlang dalam kategori hafazan peringkat negeri selaku Naib Johan Pertandingan Hafazan Mahrajan Program Pembangunan Adab dan Nilai Sekolah-sekolah Menengah Peringkat Negeri Perlis tahun 2023.

Majlis yang berlangsung tengah hari tadi turut dimeriahkan dengan majlis perasmian bilik muzik SMK Putra yang telah disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Bilik muzik ini telah ditubuhkan pada tahun 2022 bagi memenuhi aspirasi pembangunan murid yang berteraskan muzik sesuai dengan kerangka pendidikan muzik sebagai mata pelajaran elektif di sekolah ini.

Wajah ceria pelajar-pelajar SMK Putra ketika merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis.

DYTM Tuanku Raja Muda turut menzahirkan agar warga SMK Putra berusaha bersungguh-sungguh dan bekerja keras bagi mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi