Diterbitkan pada 7 September 2023, 10:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Raja Muda Perlis merasmikan SUKANUN Malaysia 2023 di Stadium Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UiTM, Perlis pada malam semalam.

Arau – Sebanyak 5801 atlet daripada 59 buah kontinjen dari seluruh negara beraksi dalam Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) Malaysia 2023 edisi ke-12 di Perlis dari 4 hingga 9 September 2023.

DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Kemuncak karnival yang mempertandingkan sebanyak 19 jenis sukan tersebut ialah majlis perasmian penuh gilang-gemilang yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Stadium Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Arau pada malam semalam.

Keberangkatan tiba Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Yang di-Pertua Persatuan Badan Berkanun Malaysia, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, merangkap Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM); dan Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berterima kasih kerana kepimpinan SUKANUN 2023 yang dianjurkan oleh Persatuan Badan Berkanun Malaysia dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Sukan Negara (ISN) memilih Perlis sebagai tuan rumah pada kali ini.

Menurut Tuanku, pemilihan tema “Perlis Damai dan Menawan” amat sesuai kerana tahun hadapan merupakan Tahun Melawat Perlis 2024−2025.

Tuanku Raja Muda berharap agar setiap agensi yang mengambil bahagian apabila pulang nanti akan memilih Perlis untuk tempoh dua tahun yang akan datang sebagai tuan rumah karnival sukan, mesyuarat, bengkel, atau kem motivasi dalaman organisasi masing-masing bagi sama-sama membantu menjayakan kempen pelancongan negeri Perlis tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra memaklumkan bahawa bagi menganjurkan karnival sukan di Perlis, selain UiTM Perlis, terdapat juga kemudahan yang baik di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia Perlis dan lain-lain lagi.

Tuanku Raja Muda Perlis dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis bergambar kenang-kenangan bersama-sama Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari dan antara 59 kontinjen yang mengambil bahagian, urus setia dan sukarelawan.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menyempurnakan pemasangan obor sebagai simbolik majlis perasmian SUKANUN 2023 itu dan seterusnya berfoto kenang-kenangan bersama-sama antara 59 kontinjen yang mengambil bahagian, urus setia dan sukarelawan.

Tuanku Raja Muda Perlis dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis bergambar kenang-kenangan bersama-sama kontinjen yang mengambil bahagian.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi