Diterbitkan pada 4 September 2023, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mendoakan rakyat agar sentiasa dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan yang berterusan dalam kehidupan ini.

Tuanku Raja Perlis turut menzahirkan ucapan terima kasih rakyat kerana tidak putus-putus mendoakan kesembuhan dan kesihatan baginda sepanjang menjalani rawatan kaki dan buku lali.

Sesungguhnya hanya Tuhan yang dapat membalas setiap titipan doa yang diucapkan.

Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid selamat berangkat pulang ke Perlis pada petang semalam.

Terdahulu, baginda berdua bersemayam di Kuala Lumpur pada 27 Mac 2023 yang lalu bagi membolehkan Tuanku Raja Perlis menjalani pembedahan yang selamat dilaksanakan di Hospital Putrajaya pada 1 April 2023, baru-baru ini.

Seterusnya, baginda meneruskan proses pemulihan dan pemeriksaan susulan di Istana Perlis Kuala Lumpur.

Sepanjang tempoh tersebut, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dilantik sebagai Pemangku Raja Perlis oleh DYMM Tuanku Syed Sirajuddin.

Pada petang semalam, Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan mendarat dengan pesawat Penerbangan Malaysia MH1208 pada pukul 2.20 petang di Lapangan Terbang Alor Setar, dan disambut oleh Tuanku Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir bersama-sama menyambut ketibaan baginda ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan para pembesar negeri.

Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana rawatan pembedahan yang dijalani berjaya dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.

Walaupun kadangkala terdetik berasa resah dan gelisah dalam hati sepanjang proses rawatan, namun saya berasa amat tenang dan sukacita dengan adanya sokongan daripada ahli keluarga dan rakan taulan yang dikasihi.

Pada masa yang sama, Tuanku Raja Perempuan menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perlis di bawah kepimpinan Menteri Besar, Kementerian Kesihatan Malaysia termasuklah seluruh warganya yang terbabit dan juga semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menguruskan segala urusan Tuanku Raja sepanjang bersemayam di Kuala Lumpur.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi