Diterbitkan pada 21 Ogos 2023, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama Duta Besar Palestin, Tuan Yang Terutama Walid Abu Ali dalam program Kayuhan MAIPs Peduli bilangan ke-48 di Perlis, semalam.

Kangar – Duta Besar Palestin ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Walid Abu Ali menamatkan lawatan kerja yang padat dengan program di Perlis selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Ogos pada petang semalam.

Lawatan kerja tersebut termasuklah kunjungan hormat ke atas Yang Amat Berhormat Menteri Besar, lawatan dan perbincangan strategik bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kampus Pauh Putra, lawatan ke Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP dan Taklimat Pembangunan Negeri dan Peluang Pelaburan di Negeri Perlis oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis, serta Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), selain perbincangan dengan MAIPs, Jabatan Mufti Negeri dan juga Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Selain itu, beliau turut berkunjung ke Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra bagi menyampaikan Syarahan Umum Antarabangsa berjudul “The Palestinian – Malaysian Bilateral Relation And Recent Updates About The Palestinian Occupied Territory” yang dihadiri oleh pelajar terdiri daripada wakil pelbagai institusi pengajian awam dan swasta di negeri Ini.

Beliau bersama-sama delegasinya turut melawat tempat menarik di Perlis seperti Tasik Timah Tasoh, Muzium Kota Kayang, Superfruits Valley di Chuping dan “Sun Set Boating” sepanjang Sungai Perlis.

Tuan Yang Terutana Walid mengiringi Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin untuk menjejaki dan menyantuni asnaf di sekitar kawasan Projek Transfornasi DiRaja Kampung Warisan Nelayan Warna Warni di Sebarang Ramai, Kuala Perlis.

Pada kemuncak program, Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan mengiringi Tuan Yang Terutama Walid dalam program Kayuhan MAIPs Peduli bilangan ke-48 bagi tahun ini untuk menjejaki dan menyantuni asnaf di sekitar kawasan Projek Transfornasi DiRaja Kampung Warisan Nelayan Warna Warni di Sebarang Ramai, Kuala Perlis.

Melalui program kayuhan itu, Tuan Yang Terutama Walid dan delegasinya dapat melihat sendiri cara hidup dan budaya serta keunikan yang tersendiri di kampung nelayan yang semakin popular sebagai destinasi pelancongan baru itu. Beliau turut mencuba yang disediakan penduduk setempat seperti cucur, aiskrim Malaysia dan garam belacan.

Lawatan kerja ini memberikan impak yang positif kepada hubungan antara Malaysia dengan Palestin.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar pelbagai kerjasama pada masa akan datang dapat diwujudkan antara kedua-dua negara ini.

Titah baginda,

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-66 tidak lama lagi, seluruh lapisan masyarakat di negeri dan negara ini perlu sentiasa bersyukur kerana dapat tinggal dalam keadaan yang stabil, aman dan sejahtera berbanding dengan penduduk di Palestin.

Maka bersama-samalah kita rakyat Perlis dan Malaysia berusaha keras untuk hidup utuh bersatu padu untuk mempertahankan perpaduan dan kepelbagaian etnik, agama dan budaya yang kita warisi sejak berzaman ini secara bersama.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi