Diterbitkan pada 20 Ogos 2023, 15:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Duta Palestin ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Walid Abu Ali menyeru agar rakyat Malaysia sentiasa memberikan penumpuan terhadap isu utama di Palestin iaitu bagi mengembalikan keamanan dan keselamatan di Al-Quds.

Dalam hubungan ini, isu politik dalaman yang melibatkan para penduduk Palestin tidak wajar menjadikan umat Islam keliru dalam membela serta mempertahankan nasib rakyat Palestin yang sedang berhadapan dengan situasi mencabar.

Walid Abu Ali turut menyeru agar masyarakat Malaysia menyalurkan sumbangan kepada Palestin melalui saluran rasmi yang dapat dipastikan manfaatnya kepada Palestin seperti Wisma Putra.

Demikian dipersembah maklumkan beliau kepada Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang diadakan di Restoran Api-Api Ikan Bakar Kuala Perlis, pada malam semalam.

Turut berangkat sama ke majlis tersebut ialah anakanda Tuanku Pemangku Raja, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Manakala TYT Walid Abu Ali diiringi oleh isteri, Jawaher Abu Ali dan anak iaitu Nagham Abu Ali dan Mohammed Abu Ali serta Setiausaha Pertama Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur, Dr Ahmed Bhasi berada di Perlis selama tiga hari untuk lawatan kerja yang bermula dari 18 Ogos hingga 20 Ogos 2023.

Program kunjungan Duta Palestin ke Perlis pada kali ini turut mengingatkan bahawa pada  21 Ogos setiap tahun  merupakan tarikh memperingati peristiwa pembakaran Masjid Al-Aqsa. Pembakaran tersebut berlaku di waktu subuh pada 21 Ogos 1969 selepas muslimin menunaikan solat Subuh dan meninggalkan masjid.

Hari Perpaduan Antarabangsa dengan Rakyat Palestin juga dikenang pada 29 November setiap tahun.

Sebagai rekod, Tuanku Pemangku Raja Perlis pernah berangkat bagi mengetuai Misi Kemanusiaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Al-Quds pada 6 Oktober 2018 bagi menyampaikan hasil kutipan sumbangan ikhlas daripada masyarakat Perlis secara terus kepada Masjid Al-Aqsa, selain turut bekerjasama dengan Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Jordan.

TYT Walid Abu Ali dan delegasi mengiringi Pemangku Raja Perlis untuk menunaikan solat Maghrib di Masjid Terapung Al Hussain Kuala Perlis.

Terdahulu TYT Walid Abu Ali dan delegasi mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam program kayuhan MAIPs Peduli di sekitar kawasan Projek DiRaja Transformasi Kampung Warna-warni Perkampungan Warisan Nelayan Seberang Ramai dan seterusnya solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Terapung Al Hussain Kuala Perlis dan sesi taklimat mengenai MAIPs yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi