Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFoto: Khairul Azhar Baharuddin

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini giat menggerakkan agenda penting, iaitu pembelajaran di luar kelas bagi menghasilkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang kreatif dan bermakna berdasarkan Elemen Merentas Kurikulum (EMK) dalam usaha meningkatkan minat murid terhadap PdP.
Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek berkata, program atau lawatan di luar kelas merupakan sebahagian daripada PdP untuk memberikan pendedahan dan suntikan semangat kepada pelajar agar terus menimba ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang walau di mana-mana pun mereka berada.

Sebelum ini, satu sekolah boleh melakukan dua kali setahun sahaja lawatan, namun pada kali ini, anak-anak mempunyai peluang untuk keluar pergi lawatan dua kali setahun bagi setiap anak-anak.
Lawatan pelajar di luar kelas perlulah segera disambut oleh semua sekolah, seterusnya menyediakan program dan aktiviti pembelajaran di luar kelas yang efektif.

Demikianlah kata Menteri Pendidikan itu ketika merasmikan Program Eksplorasi Merdeka@Muzium 2023 yang berlangsung di Dataran Muzium Negara, Kuala Lumpur anjuran kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Jabatan Muzium Malaysia, pada petang ini.
Tambah Menteri Pendidikan, pelibatan murid dan guru dalam aktiviti fizikal dan penganjuran acara berskala besar dapat membentuk persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan khususnya dalam usaha melahirkan modal insan yang sihat dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
Muzium merupakan satu daripada institusi yang menyokong sesi memperkaya ilmu pengetahuan demi melahirkan Anak yang Baik Lagi Cerdik (ABC), serta mendokong konsep karamah insaniah.
Ujar beliau yang menyokong penuh program kementerian dan jabatan bersempena dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBrs. Encik Mohamad Sobri Mat Daud memaklumkan bahawa program ini melibatkan penyertaan sebanyak 621 orang murid daripada 207 buah sekolah rendah dan menengah yang terdiri daripada empat buah negeri, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Penganjuran ini bukan sahaja membuktikan keupayaan pihak muzium dalam menarik minat generasi muda untuk mendampingi khazanah sejarah dan budaya negara, malah dapat memupuk semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan pelajar agar tumbuh rasa cinta dan taat setia terhadap negara.
Tambah beliau yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim:
Saya percaya anak-anak muda pada hari ini berpotensi menjadi peneraju konsep Malaysia MADANI atau erti kata lain, Duta MADANI dengan menerapkan elemen JERIS, iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial, bagi pembangunan modal insan.

Mengulas lanjut, KPM proaktif memainkan peranan untuk memupuk perpaduan dan menyemarakkan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya guru dan murid.