Diterbitkan pada 13 Ogos 2023, 22:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Foto : Khairul Azhar Baharudin

Alor Setar – Majlis angkat sumpah Menteri Besar Kedah dijadualkan akan berlangsung di Istana Anak Bukit, esok.

Berdasarkan surat jemputan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah pada hari ini, majlis itu akan diadakan di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit, kira-kira pukul 9:00 pagi.

Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan tokoh yang akan mengangkat sumpah jawatan tersebut di hadapan Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Sementara itu, sumber memaklumkan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali telah mengadap Sultan Sallehuddin di pejabat baginda, pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor difahamkan akan kekal menjadi Menteri Besar, meskipun terdapat dakwaan pihak tertentu yang membuat spekulasi di media sosial, bahawa jawatan tersebut bakal digantikan oleh ADUN Tokai, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman.

Kemungkinan besar untuk Panglima Perang Perikatan Nasional (PN) itu mengekalkan kedudukan tersebut, diperkukuh dengan jemputan kepada media mengenai sidang akhbar olehnya di Pejabat Menteri Besar pada pukul 11.30 pagi esok.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut mengumumkan bahawa keputusan parti itu yang akan menamakan semula Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar sekiranya PN menguasai Kedah.

Pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRN-15) semalam, PN Kedah yang diterajui oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berjaya memperoleh kemenangan besar, iaitu sebanyak 33 daripada 36 kerusi DUN.

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam sidang media di Kompleks PAS Kedah selepas pengumuman PN Kedah meraih majoriti dua pertiga dalam PRN-15 semalam

Semasa majlis meraikan kemenangan PN di Kompleks PAS Kedah semalam, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah yang baharu di bawah PN akan bersikap adil terhadap ADUN Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) sebagai pembangkang.

Beliau yang dijangka mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai Menteri Besar Kedah, berkata bersikap adil terhadap lawan adalah selaras dengan ajaran Islam.

“Kepada rakan-rakan dalam PH-BN, saya berjanji bahawa kerajaan negeri akan berlaku adil dan penyayang, seperti yang dituntut oleh Tuhan dan Prinsip Islam akan menjadi panduan untuk kita mentadbir Kedah,” jelas beliau pada sidang media yang diadakan di tempat yang sama selepas PN mencapai kemenangan dalam PRN-15 malam tadi.

Menara Alor Setar merupakan mercu tanda kebanggaan rakyat Kedah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Kedah mengesahkan kemenangan PN yang memperoleh sebanyak 33 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu dengan majoriti dua pertiga. Manakala baki tiga lagi kerusi kekal menjadi milik gabungan PH-BN, iaitu DUN Kota Darul Aman, Sidam dan Bakar Arang.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi