Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFoto: Khairul Azhar Baharudin
Kota Sarang Semut – Perikatan Nasional (PN) berjaya mengekalkan penguasaannya di Kedah apabila memenangi sebanyak 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRN-15).
Kemenangan itu sekali gus membolehkan PN yang ditunjangi oleh PAS bersama-sama Bersatu terus menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah. Jumlah kemenangan yang diperoleh PN pada kali ini jauh lebih besar berbanding dengan kedudukan kerusi sebelum ini, iaitu PAS (15 kerusi) dan Bersatu (enam kerusi).

Sementara itu, keputusan PRN-15 ini menyaksikan gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) hanya memenangi DUN Kota Darul Aman (DAP), Bakar Arang (PKR) dan Sidam (PKR), namun Barisan Nasional (BN) dan Parti Amanah Negara (Amanah) gagal memperoleh sebarang kerusi. Keputusan di ketiga-tiga DUN tersebut sudah dijangka memandangkan kerusi itu merupakan kubu kuat PH sebelum ini. Gabungan PH-BN tersebut dimenangi menerusi Adam Loh yang menang dengan majoriti sebanyak 3683 undi bagi DUN Bakar Arang dan Teh Swee Leong dengan majoriti sebanyak 5650 di Kota Darul Aman. Satu lagi kerusi yang dimenangi ialah DUN Sidam menerusi Bau Wong menang dengan majoriti tipis , iaitu hanya 954 untuk mengatasi lawannya, Juliana Abdul Ghani.
Dalam majlis pengumuman kemenangan calon yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, seperti yang dijangka, calon Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Pengerusi PN Kedah berjaya mempertahankan kerusi DUN Jeneri dengan majoriti 16 050 undi. Beliau memperoleh 21 823 undi dan Dato’ Muhamad Khizri (PH-BN) pula hanya mendapat 5773 undi.

PN melepasi majoriti lebih dua per tiga dan antara kawasan DUN yang mencatatkan kemenangan termasuklah Ayer Hitam, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Kuala Nerang, Pedu, Bukit Lada, Bukit Pinang, Alor Mengkudu, Anak Bukit, Pengkalan Kundor, Sungai Limau, Guar Chempedak dan Gurun. Kawasan yang turut dimenangi PN termasuklah Belantek, Jeneri, Bayu, Kupang, Kuala Ketil, Merbau Pulas, Kulim, Bandar Baharu, Ayer Hangat, Kuah dan Suka Menanti.
Kenyataan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepada petugas media menepati ramalan apabila beliau menyatakan kepada media bahawa PN mampu memenangi 33 kerusi pada PRN-15 ini semasa hadir membuang undi di Sekolah Kebangsaan Beris Jaya pada pagi semalam (Sabtu).
Sementara itu, dua mantan pemain bola sepak Kedah, iaitu Baddrol Bakhtiar dan Radhi Mat Din juga memperoleh kemenangan di DUN masing-masing selepas meraih kemenagan selesa.
Sebagai rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-14, PN hanya memenangi 21 daripada 36 kerusi DUN dan keputusan PRN-15 tahun ini menunjukkan gabungan parti daripada PAS, Gerakan serta Bersatu itu berhasil menambat hati majoriti penduduk negeri dengan julukan “Jelapang Padi” itu.
PRN-15 ini membabitkan sebanyak 36 kerusi DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) serta 36 DUN di Negeri Sembilan.
PN dapat membentuk kerajaan negeri Kedah dan mengisytiharkan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor kekal sebagai calon Menteri Besar Kedah. Sebagai penutup majlis, turut diumumkan bahawa hari ini (Ahad) sebagai cuti peristiwa berikutan kemenangan besar PN dalam PRN-15.