Diterbitkan pada 13 Ogos 2023, 00:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hulu Kelang – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mencipta kejutan apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang (N.18) sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Selangor (PRN) Ke-15 2023.

Bekas Menteri Besar Selangor itu menewaskan saingannya yang juga anak didik beliau, iaitu Juwairiya Zulkifli yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menang dengan majoriti undi sebanyak 1 617. Beliau memperoleh sebanyak 25 597 undi menewaskan Juwairiya yang memperoleh sebanyak 23 980 undi.

PRN kali ini menyaksikan 49 577 jumlah undian oleh pemilih dengan peratus pengundian sebanyak 69.52 peratus.

Kerusi Pakatan Harapan (PH) tumbang di DUN Hulu Kelang setelah diterajui oleh Tuan Haji Saari Sungib daripada Parti Amanah selama tiga penggal berturut-turut.

Sebagai rekod, Tuan Haji Saari Sungib daripada Parti Amanah mewakili PH menang dengan majoriti 15 349 undi pada PRU Ke-14 pada tahun 2018 menewaskan saingannya daripada parti Barisan Nasional dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pula bertanding di DUN Bukit Antarabangsa dan memenangi kerusi itu pada PRU Ke-14 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi