Diterbitkan pada 12 Ogos 2023, 14:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hulu Kelang – Suasana hari mengundi bersempena dengan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di sekitar kawasan Hulu Kelang (N. 18) tampak meriah dengan kehadiran rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat keluar membuang undi sejak dari awal pagi lagi.

Tinjauan wartawan JendelaDBP pagi tadi menyaksikan Sekolah Kebangsaan Klang Gate menjadi tumpuan pihak media seawal pagi bagi menantikan kehadiran calon yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang tiba pada pukul 8.56 pagi dan membuang undi di sini pada kira-kira pukul 9.13 pagi.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamsidar Taharin selepas selesai membuang undi.

Semasa ditemu bual oleh wartawan, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan bahawa,

Saya teruja dan gembira untuk kembali ke Hulu Kelang, iaitu tempat pertama saya mendapat mandat pada tahun 1999 daripada penduduk di sini dan saya telah pun bersama-sama dengan penduduk di sini sejak itu, malah lebih awal sebenarnya.

Saya membesar di sini dari tahun 1968, jadi sememangnya saya gembira untuk menabur khidmat bakti kepada mereka. Saya optimis untuk menang pada kali ini dan insya-Allah, saya akan  terus berkhidmat untuk pengundi di Hulu Kelang dan membentuk kerajaan baharu di Selangor malam ini.

Juwairiya Zulkifli hadir menyantuni pengundi di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang.

Juwairiya Zulkifli, calon Perikatan Harapan (PH), iaitu pesaing kepada Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut turun padang membuat lawatan ke pusat-pusat pengundian di sekitar Hulu Kelang. Apabila disoal tentang pengalaman beliau sebagai calon DUN, jelas beliau,

Pengalaman kali kedua bertanding dan mengimbau kembali (bertanding) di Kuala Selangor, dan sekarang di Hulu Kelang, agak berbeza dari segi suasana kerana di sini merupakan tempat asal saya. Jadi bila turun ke pusat-pusat mengundi dan berjumpa dengan kawan-kawan lama, rakan sekolah dan jiran-jiran lama, jadi perasaan seronok itu lain sedikit.

Cuma trend mengundi itu nampak agak perlahan pagi tadi dan tengah hari dilihat semakin ramai, jadi kita harap semua pengundi Hulu Kelang dapat keluar mengundi sebelum pukul 6.00 petang ini dan sangat penting untuk keluar mengundi supaya hasrat sebenar rakyat dapat dicapai.

Sukor dibantu oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa tiba di perkarangan sekolah untuk membuang undi.

Golongan warga emas juga merupakan antara golongan yang bersemangat turun padang membuang undi. Sekalipun bertongkat, Sukor Sita, 79, tetap bersemangat hadir menjalankan tanggungjawab beliau.

Sukor yang merupakan anak jati Kampung Klang Gate sejak dari tahun 1956  yang hadir berseorangan tanpa ditemani isterinya yang mempunyai masalah kesihatan berharap agar pembaharuan dapat dilakukan untuk negeri Selangor.

 

Solihin, pengundi muda yang teruja mengundi buat kali kedua.

Pengundi muda turut dilihat ceria menunaikan tanggungjawab sempena pengundian hari ini. Muhammad Solihin Mohd Hiruan, 18 tahun berkata bahawa beliau terlebih dahulu membuat pembacaan mengenai calon-calon yang bertanding pada kali ini dan pilihan beliau lebih terarah kepada memilih calon yang dapat menabur khidmat bakti dan menggunakan pengaruhnya bagi membantu masyarakat sebelum ini.

Sebagai rekod, DUN N.18 Hulu Kelang mencatatkan sebanyak 21 buah Pusat Mengundi Biasa dan 1 Pusat Mengundi Awal dengan jumlah pemilih sebanyak 71 497 (pemilih biasa) dan 165 (undi awal) dengan jumlah saluran sebanyak 125 di pusat mengundi yang telah diwartakan.

Peratusan keluar mengundi di Selangor setakat pukul 2.00 petang tadi menunjukkan 51 peratus pengundi telah menunaikan kewajipan masing-masing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi