Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCheras – Pengundi muda kelihatan begitu bersemangat ketika tiba di pusat pengundian untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing. Perkara ini menggambarkan sikap positif dalam kalangan pengundi muda bahawa mereka sangat peka dan mempunyai tahap kesedaran yang tinggi terhadap tanggungjawab memilih wakil rakyat dan pemimpin demi kesejahteraan negara yang tercinta.

Pada pagi ini pengundi berpusu-pusu keluar dalam cuaca mendung di sini untuk menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 Negeri Selangor.

Pasukan JendelaDBP meninjau suasana proses pengundian di Sekolah Rendah Agama Batu 10, Cheras, iaitu salah satu pusat pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Dusun Tua.
Seawal pukul 7.00 pagi, pengundi sudah mula tiba di pusat pengundian walaupun proses pengundian hanya akan bermula pada pukul 8.00 pagi. Proses pengundian akan berakhir pada pukul 6.00 petang.
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula kelihatan sibuk bertugas untuk memastikan keadaan tenang dan proses pengundian berjalan dengan lancar.

Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Dusun Tua akan memilih wakil rakyat yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru, iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Calon-calon yang bertanding ialah Datuk Johan Abd Aziz (BN), Azhar Hambali (PN), al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad (Muda).
Sebanyak 63 peratus pengundi di kawasan tersebut ialah Melayu, diikuti Cina (28 peratus), India (tujuh peratus) dan lain-lain (dua peratus).

Satu fakta menarik bagi pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Dusun Tua ialah penyandang sebelum ini, iaitu YB Edry Faizal Eddy Yusof dari parti DAP tidak dicalonkan. PH-BN bersepakat meletakkan Datuk Johan Abd Aziz (BN) sebagai calon bagi kerusi tersebut.
Adakah Parti MUDA akan melakarkan sejarah dan kejutan pada malam ini dengan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Dusun Tua menerusi calonnya, iaitu al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad?

Yang pasti, ramai di luar sana sedang berdebar-debar menunggu keputusan pengundian pada malam ini kerana pemerhati politik beranggapan bahawa PRN Selangor pada kali ini adalah yang paling sengit dalam sejarah sepanjang proses tersebut diadakan.

