Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGeorge Town – Chow Kon Yeow, calon N.26 Padang Kota yang mewakili Pakatan Harapan (PH) selesai buang undi pada pukul 8.08 pagi ini, di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Hu Yew Seah, Lorong Madras, George Town.
Beliau ketika ditanya tentang proses pembuangan undi di sini turut menyatakan bahawa proses pembuangan undi pada awal pagi ini berjalan dengan lancar dan cepat.

Selain Chow Kon Yeow, H’ng Khoon Leng yang merupakan calon dari Perikatan Nasional (PN) turut menjadi antara pengundi terawal di sini tadi iaitu pada sekitar pukul 8.20 pagi.

Selain kehadiran dua calon bagi N.26 Padang Kota tersebut, kehadiran Tan Sri Lim Kit Siang yang merupakan Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) turut selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada awal pagi tadi.
Beliau yang diiringi Yang Berhormat (YB) Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pendidikan dan juga Ahli Parlimen Tanjong turut memberikan sokongan dan bertemu mesra dengan pengundi yang hadir.

Sebagai rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Chow Kon Yeow yang mewakili parti DAP telah menang kerusi di N.26 Padang Kota dengan majoriti sebanyak 40 400 undi.
Berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh pasukan JendelaDBP hingga pukul 9.30 pagi, situasi di pusat pembuangan undi berjalan dengan lancar dan cuaca pada di sini juga dalam keadaan baik.