Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFoto : Khairul Azhar Baharudin
Sungai Petani – Dua orang calon daripada Kerajaan Perpaduan Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) menarik minat para pengunjung yang mendengar ucapan mereka dalam Jelajah Perpaduan MADANI dengan kepetahan berpidato mereka dalam bahasa Melayu, sekali gus menunjukkan kesungguhan mereka dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan di negara ini, sebentar tadi.
Adam Loh yang akan bertanding di N28 Bakar Arang, yang juga merupakan anak tempatan sedia memastikan kerusi tersebut menjadi milik PH-BN dengan mengemukakan visi dan misi beliau dengan jelas.

“Sempoi SP”- perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran merupakan hala tuju yang akan dibawa beliau semasa berucap sebentar tadi. Jelas beliau,
Sebagai anak jati, saya ingin menjadi pemimpin muda yang membawa suara rakyat.
Beliau bertekad untuk membawa suara rakyat dalam memperjuangkan isu-isu yang dihadapi oleh penduduk setempat dalam persidangan DUN. Beliau ingin memastikan dasar kerajaan negeri selaras dengan keperluan rakyat.
Hal ini jelas, sewaktu pandemik COVID-19, meskipun berdepan dengan risiko jangkitan, beliau tetap turun memikul tugas dengan memastikan setiap isi rumah tidak terjejas dan kerap menjalankan aktiviti sanitasi di sekitar kawasan Sungai Petani.
Begitu juga dengan calon di DUN N29 Sidam, Bau Wong, satu-satunya wakil daripada masyarakat Siam yang akan bertanding dalam PRN-15 pada kali ini. Beliau berikrar akan berusaha untuk mengetengahkan beberapa masalah yang dihadapi oleh masyarakat Siam di Kedah sejak sekian lama selain mewujudkan keharmonian kaum.

Sekiranya diberi mandat, suara masyarakat Siam akan diangkat.
Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang politik merupakan mantan Pegawai Khas Ahli Parlimen Sungai Petani dan pernah berkhidmat kepada dua wakil rakyat sejak tahun 2018.
Sebagai rekod, DUN Sidam telah dimenangi Dr. Robert Ling Kui Ee yang mewakili PKR sebelum ini dengan majoriti 10 860 undi, namun bertindak keluar parti, seterusnya menyokong Perikatan Nasional (PN).
Pada PRN-15 kali ini, Bau Wong akan berhadapan dengan Juliana Abdul Ghani, calon PN.