Diterbitkan pada 12 Ogos 2023, 01:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Foto : Khairul Azhar Baharudin

Sungai Petani – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mencatatkan sejarah apabila mengakhiri kempen gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) sebentar tadi sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRN-15) dengan menghadiri program grand finale atau pecutan akhir di Kedah. Kedah dipilih sebagai lokasi terakhir jelajah MADANI.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima tepukan gemuruh para penyokong sebaik-baik sahaja memulakan ucapan beliau malam tadi.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat dalam program bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri oleh pimpinan tertinggi BN serta PH termasuklah calon-calon bagi kedua-dua gabungan itu yang bertanding dalam PRN-15 kali ini.

“Hak rakyat Kedah wajar dipertahankan,” demikian menurut YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapan beliau, Perdana Menteri menyentuh beberapa perkara penting antaranya usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan sepanjang lapan bulan mentadbir negara termasuklah kenaikan subsidi padi, membela nasib rakyat dan pelbagai bantuan lain, antaranya termasuklah usaha untuk membasmi kemiskinan tegar.

Dalam ceramah mega yang dibanjiri hampir 10 000 penyokong itu, Perdana Menteri mengkritik Menteri Besar bagi negeri yang ditadbir oleh pembangkang termasuklah di Kedah dengan meminta rakyat di negeri tersebut menilai sendiri usaha yang dilakukan oleh mereka untuk rakyat setakat ini.

Pada masa yang sama, beliau turut memuji kehadiran luar biasa penyokong PH dan BN ke Padang EUPE, Taman Ria Jaya terutamanya pelibatan anak muda yang menjadi pengundi paling ramai dalam PRN-15 kali ini.

Perdana Menteri sempat beramah mesra dan bersalaman bersama-sama pengundi muda dalam kempen terakhir Jelajah MADANI

Sejarah tercatat apabila Pengerusi PH itu sebelum ini telah menjelajah ke beberapa daerah di negeri ini dan menjadikan Sungai Petani sebagai lokasi kempen jelajah terakhir, iaitu sebuah negeri yang dilihat mempunyai potensi untuk dirampas oleh gabungan PH-BN.

Hal ini dilihat sebagai usaha terakhir pimpinan tertinggi gabungan PH-BN untuk berkempen di negeri yang dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN), khususnya Kedah yang menjadi sasaran untuk dimenangi pada hari ini. Pecutan pada saat akhir kempen itu dinanti-nantikan oleh penyokong PH-BN seawal sebelum waktu maghrib apabila Perdana Menteri sendiri menutup tirai kempen PRN-15 di negeri ini.

Tempoh 14 hari berkempen PRN-15 yang bermula pada hari penamaan calon, 29 Julai lalu, kini telah tamat pada jam 11.59 malam tadi. Hal ni bermakna selepas tempoh itu, segala aktiviti merayu undi tidak dibenarkan lagi terutamanya menjelang hari pengundian pada Sabtu (hari ini), di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Pasukan keselamatan mengawal laluan bagi meningkatkan tahap keselamatan di lokasi kempen terakhir yang dihadiri oleh Perdana Menteri.

Komposisi DUN Kedah pada ketika ini menyaksikan PN menguasai 21 kerusi DUN dengan 15 kerusi milik PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak enam kerusi. PH pula memiliki 11 kerusi menerusi PKR (lima), Parti Amanah Negara (empat), serta DAP (dua). BN pula memiliki dua kerusi yang kini bergabung bersama-sama PH dengan membentuk Kerajaan Perpaduan. Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memiliki dua kerusi, namun tidak menyertai PRN kali ini.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi