Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAlor Setar – Status Kedah sebagai negeri yang sering berubah-ubah kerajaannya bakal ditentukan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRN-15) yang akan berlangsung esok.
Keputusan sama ada Perikatan Nasional (PN) mampu kekal berkuasa atau gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) berupaya untuk mengambil alih kerajaan negeri dikatakan akan ditentukan oleh golognan muda yang berusia 40 tahun ke bawah.
Melihat pada situasi semasa, penganalisis politik berpandangan bahawa gelombang PN yang dikatakan berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lepas bagi kerusi Parlimen yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menguasai 14 daripada 15 kerusi Parlimen di negeri ini, tidak boleh dijadikan penanda aras terkini disebabkan PRN-15 pada kali ini membabitkan sentimen yang lebih besar terutamanya isu yang berkaitan dengan pembangunan, ekonomi dan kestabilan politik. Pencapaian kerajaan sebelum ini disifatkan tidak ada yang boleh dibanggakan oleh rakyat di negeri ini. Oleh sebab itu, pelibatan Kerajaan Persekutuan kini ditagih oleh penduduk yang terdiri daripada peniaga, petani dan golongan bawahan demi kemajuan rakyat Kedah secara keseluruhannya.
Permainan sentimen di negeri ini disifatkan begitu kuat disebabkan oleh Menteri Besar yang dianggap sebagai figura politik yang menentang Kerajaan Persekutuan sepenuhnya. Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata bahawa PRU-15 yang lepas tidak boleh dijadikan penanda aras kekuatan PN untuk menghadapi PRN-15 pada kali ini. “Dinamik politik kini telah berubah disebabkan oleh penubuhan Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan dan dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu dapat dilihat dan rakyat Kedah begitu bijak menilai aspek tersebut.
“Jika PRN kali ini diadakan dalam tempoh terdekat dengan PRU lalu mungkin momentum gelombang PN itu memberikan kesan kepada PRN-15, namun tempoh tersebut telah lama berlalu. Pengundi muda juga khususnya sudah dapat menilai perkara yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” jelas beliau ketika dihubungi oleh wartawan JendelaDBP.
Bagi beliau, kebanyakan pengundi muda bekerja di luar negeri Kedah dan mereka begitu arif dengan pencapaian Kerajaan Persekutuan yang pada ketika ini sedang berusaha keras untuk memulihkan ekonomi negara. “Mungkin sentimen tersebut akan diterjemahkan ke peti undi dan menjadi faktor penentuan esok,” tambah beliau.
Beliau turut berkata bahawa walaupun PN mempunyai kekuatan, namun gabungan PH-BN dilihat mempunyai potensi untuk mengambil alih negeri Kedah disebabkan oleh beberapa faktor antaranya termasuklah sejarah negeri itu yang menyaksikan parti politik utama mempunyai peluang yang sama untuk menang.
“Jika dilihat pada sejarah PRU lalu, Kedah diperintah oleh BN sehingga tahun 2008, PAS mengambil alih pada tahun 2008 hingga tahun 2013 dan BN mengambil alih semula pada 2013 hingga tahun 2018, sebelum dimenangi oleh PH pada tahun 2018,” terang beliau.
“Persaingan yang hebat dijangka berlaku antara kedua-dua pihak yang mungkin akan menyaksikan kemenangan tipis dan jangan terkejut sekiranya kita menyaksikan DUN tergantung sekali lagi di negeri ini,” jelas beliau.
Menurut beliau, majoriti pengundi Cina, India dan Siam dikatakan mempunyai kecenderungan untuk menyokong gabungan PH-BN yang kini bersama-sama menubuhkan Kerajaan Perpaduan. “Sebelum ini mereka menyokong PN pada PRU-15, namun sokongan mereka yang terdiri daripada peniaga, petani dan pesawah itu mungkin berubah kepada Kerajaan Perpaduan. Hal ini demikian kerana ekonomi negeri kedah banyak bergantung pada peranan dan bantuan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Mantan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pernah menyarankan supaya kerajaan negeri menjalinkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Persektuan agar Kedah dapat menikmati imbalan yang baik dari segi pembangunan dan kestabilan ekonomi rakyatnya, namun hal tersebut tidak diendahkan oleh kepimpinan kerajaan negeri pada hari ini,” ulas beliau seraya mengakhiri perbualan.