Diterbitkan pada 11 Ogos 2023, 12:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hulu Kelang – Sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 bagi Selangor, kawasan “kerusi panas” Hulu Kelang yang menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali (Perikatan Nasional) dengan Juwairiya Zulkifli (Pakatan Harapan) menjadi antara tumpuan utama pilihan raya pada kali ini.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor dan Juwairiya Zulkifli yang sebelum ini merupakan ahli Dewan Undangan Negeri dari Bukit Melawati masing-masing mempunyai aura tersendiri dalam usaha menambat hati pengundi Hulu Kelang.

Meninjau pandangan dan penerimaan dalam kalangan warga emas di kawasan ini, Puan Zie, 66, berkata bahawa beliau lebih senang untuk mengundi calon yang lebih dekat dengan rakyat berbanding dengan calon yang hanya berpaksikan manifesto semata-mata.

Dari sudut kaca mata beliau, nenek kepada dua orang cucu ini terbuka untuk menerima calon tanpa mengira parti politik yang dirasakan lebih mesra menyantuni dan membantu penduduk di sini, bukan hanya dalam waktu berkempen semata-mata.

Beliau berpandangan bahawa keprihatinan dan sifat telus seseorang calon dalam mendekati rakyat tanpa mengira darjat akan membawa kesejahteraan kepada rakyat tanpa mengira apa-apa jua kedudukannya dalam mana-mana parti politik sekalipun.

Beliau bersemangat untuk keluar mengundi esok bagi memastikan kesejahteraan buat anak cucu pada masa akan datang.

Walaupun mempunyai masalah lutut, beliau tetap beriltizam untuk turun padang bagi menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Walaupun sudah menginjak usia ‘senja’, namun saya tidak pernah melupakan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia sejak dari zaman muda lagi. Kita perlu keluar membuang undi bagi memilih pemimpin kerana hal ini akan menentukan masa depan anak cucu kita.

Berbanding dengan keterbukaan warga emas tentang penerimaan calon tanpa mengira parti, hal sebaliknya pula dilihat berbeza  dengan pandangan dalam kalangan anak muda di kawasan Hulu Kelang.

Shafiz Isa, 33, yang merupakan anak jati kawasan Taman Keramat mengulas bahawa beliau lebih melihat manifesto baharu yang realistik dalam sesebuah parti yang difikirkan akan dapat menyelesaikan masalah setempat.

Menurut beliau, persaingan kali ini tidak akan menyaksikan kemenangan yang mudah kerana kedua-dua calon sebenarnya mempunyai kelebihan mereka yang tersendiri.

Walaupun Pakatan Harapan (PH) telah menang di Hulu Kelang sejak 2008 dan menang dengan majoriti besar pada tahun 2018, tetapi bekas Menteri Besar Selangor juga mempunyai rekod yang baik bagi kawasan dalam Selangor. Kedua-dua parti yang bertanding pernah menjadi kerajaan, jadi dari situ saya akan menilai mana yang lebih baik.

Aspirasi beliau salah satunya adalah untuk melihat permasalahan di kawasan Hulu Kelang, terutama sekali dalam kawasan Taman Keramat dapat diselesaikan.

Baik warga emas mahupun warga muda, kedua-dua golongan ini menzahirkan harapan agar calon yang berkredibiliti dapat dipilih dan memenangi “kerusi panas” ini agar dapat membawa perspektif baharu yang segar untuk kawasan Hulu Kelang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi