Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Khairul Azhar Baharuddin
George Town – Menjelang dua hari sebelum Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRN-15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, bahang pilihan raya di negeri ini semakin terasa kehangatannya apabila setiap parti yang bertanding mempertaruhkan manifesto masing-masing.
Berdasarkan “Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023” yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan bersempena dengan PRN-15 pada kali ini, suntikan pekerjaan berkemahiran tinggi merupakan antara fokus utama yang diketengahkan dalam kempen mereka.
Antara inti pati yang ditekankan termasuklah usaha untuk memperkasakan ekonomi digital kreatif dengan menarik pelaburan asing ke Pulau Pinang, membangunkan sektor keusahawanan digital melalui “Creative Digital District”, “ESG Incubation Hub”, “SME100 Digital Champion” dan “Founders’ Grit Seed Programme”.
Menurut Calon N.26 Padang Kota, iaitu Chow Kon Yeow (calon Ketua Menteri) ketika menyampaikan manifesto beliau sepanjang tempoh berkempen di negeri tersebut, Pulau Pinang turut mementingkan pembangunan belia dan wanita, terutamanya dalam aspek pembangunan modal insan.
Tambah beliau,
Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang menubuhkan Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di semua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) sebagai usaha pemerkasaan belia dan wanita, sekali gus memastikan pembagunan modal insan yang lestari dan mapan.
Pada masa yang sama, Perikatan Nasional turut memfokuskan peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang kemahiran sebagai antara manifesto utama parti tersebut.
Timbalan Presiden Perikatan Nasional, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, sebanyak RM 1.5 juta peruntukan subsidi kepada syarikat kerajaan negeri dan swasta yang terbabit dengan program latihan industri akan disediakan sebagai usaha untuk meningkatkan pembabitan golongan muda dalam bidang perindustrian.
Beliau mengulas tentang manifesto tersebut ketika membentangkan lapan teras dan 33 tawaran untuk rakyat Pulau Pinang sekiranya berjaya mengambil alih pemerintahan negeri yang akan ditentukan pada sabtu ini.

Tempoh berkempen yang ditetapkan oleh enam negeri yang terlibat adalah selama 14 hari, iaitu yang bermula pada hari penamaan calon (29 Julai 2023) dan akan berakhir pada 11.59 malam (11 Ogos 2023).