Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur – Dalam berhadapan dengan senario semasa negara, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegaskan bahawa peri pentingnya tadbir urus yang berasaskan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang bagi memupuk perpaduan negara.
Negara memerlukan pemimpin yang mengamalkan sifat inklusif, pemimpin yang memiliki azam dan kebijaksanaan serta berupaya menganyam elemen yang pelbagai agar menjadi hamparan indah dan kukuh bertaut.

Tambah baginda,
Tanggungjawab utama sesebuah kerajaan adalah untuk memakmurkan negara dan menyejahterakan hidup rakyat.
Beta menyedari bahawa raja pemerintah berperanan sebagai payung naungan kepada setiap rakyat daripada pelbagai kaum dan pegangan agama yang membuktikan taat setia kepada raja.
Titah DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan mencemar duli dalam Majlis Pelancaran Buku dan Wacana: Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada pagi tadi.

Turut hadir bersama-sama ialah Menteri Besar Perak, YAB Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia mewakili YB Menteri Pendidikan, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Ghazali; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar; Ahli Lembaga Pengelola DBP dan tetamu kehormat yang lain.
Buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini mengandungi 35 titah baginda yang dizahirkan bermula 6 Februari 2017 hingga 21 Mac 2022. Buku ini terbahagi kepada empat bahagian, iaitu institusi raja, tadbir urus, agama, masyarakat dan budaya.
Dalam titah tersebut, baginda memperingatkan bahawa semangat perpaduan yang tersurat dan tersirat dalam karya sastera perlu dimantapkan dan terus dipupuk.
Kesusasteraan Melayu berperanan penting untuk memupuk perpaduan kaum dan membantu melahirkan masyarakat yang aman, damai, harmoni, bahagia dan mempunyai jati diri sebagai masyarakat Malaysia.
Beta menghargai usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha menerbitkan kumpulan titah yang telah beta zahirkan. Usaha DBP ini, akan membolehkan pemikiran dan pandangan beta sampai kepada khalayak yang lebih luas.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Haji Hazami mengatakan bahawa buku Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merupakan satu daripada penerbitan DBP yang mempunyai upaya untuk memperkasakan tradisi keilmuan negara.

DBP telah berakar umbi lebih daripada enam abad yang lalu. Institusi ini mempunyai landasan sejarah, tradisi yang tersendiri dan hubungan baik dengan istana dengan rakyat.
Oleh itu, majlis pada hari ini bertujuan untuk memperteguh ikatan manifestasi bahawa raja dan rakyat berpisah tiada.
Pada majlis tersebut, turut diadakan Wacana Siri Titah II Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menampilkan YBhg. Tan Sri Mohd Annuar Zaini selaku moderator dan tiga orang panel yang terdiri daripada YB Senator Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican dan YBhg. Dato’ Halimah Mohd Said.