Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur – “Malaysia mesti bangkit dalam satu generasi yang mempunyai kesedaran untuk mengangkat bahasa Melayu, menjaga perpaduan dan memelihara hubungan antara kaum dengan kaum lain.”
Demikianlah inti pati ucapan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Memperingati Negarawan, Tun Dr. Ismail Al-Haj – Tonggak Perpaduan Negara di Dataran Merdeka pada petang tadi.
Tun Dr. Ismail merupakan seorang pejuang bangsa dan bahasa. Mesejnya tidak lekang di bibir dalam usaha membentukkan bangsa dan menyelamatkan Persekutuan Tanah Melayu.
Mengimbau latar belakang Allahyarham Tun Dr. Ismail, beliau merupakan mantan Timbalan Perdana Menteri semasa pemerintahan Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1971 hingga 1973.
Kongsi YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim lagi, anak kelahiran Johor ini terkenal dengan ciri kepimpinan yang berprinsip, setia, ikhlas, jujur, taat, serius, tegas dan cekap.
Beliau juga merupakan seorang pemimpin yang berpandangan jauh, malah menjadi wira dalam mengembalikan keharmonian antara kaum semasa pascarusuhan 13 Mei 1969.
Peristiwa 13 Mei menjadi pengajaran dan peringatan kepada kita bahawa tanpa perpaduan, keharmonian dan saling menghormati antara masyarakat berbilang kaum, negara boleh menjadi lemah sehingga mengakibatkan perselisihan antara kaum, agama dan kedaulatan negara terjejas.
Pada ketika itu, antara perkara lain yang dipertahankan oleh Tun Dr. Ismail ialah bahasa. Beliau menegaskan bahawa kerajaan perlu memartabatkan bahasa kebangsaan, selain menjaga kepentingan anak Melayu.
Mempelajari sesuatu bahasa itu sangat penting.
Namum begitu, negara perlu mempunyai kesedaran dalam kalangan rakyat untuk memartabatkan bahasa sendiri berbanding bahasa lain.
Oleh itu, YAB Dato’ Seri Anwar menyatakan bahawa negara ini akan diselamatkan dengan satu sikap yang terbuka untuk menerima semua bangsa dalam semangat kekeluargaan tulen.
Dalam perkembangan yang lain, bagi menghargai legasi kepimpinan dan cetusan pemikiran Tun Dr. Ismail Al-Haj yang bertunjangkan perpaduan dan integrasi kaum, Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk membentuk Kursi Tun Dr. Ismail di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Usaha dan pengiktirafan ini bertujuan untuk memberikan ruang kepada generasi muda untuk meneladani sumbangan pahlawan bangsa dan negarawan ulung itu khususnya dalam aspek perpaduan dan penyatuan kaum.
Mengenang tokoh silam, bukan membicarakan nostalgianya, tetapi menghidupkan idealisme, mesej dan suara keramat mereka dalam menyelamatkan bahasa, bangsa dan negara.
Demikian kata-kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Atas jasa dan pengorbanan Allahyarham Tun Dr. Ismail terhadap negara, negarawan itu menjadi pemimpin pertama yang disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.