Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur – Bersempena dengan bulan kemerdekaan, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengadakan program memperingati jasa negarawan, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman di Dataran Merdeka pada hari ini.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya semasa majlis tersebut berkata bahawa perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan merupakan aset penting kepada negara. Jelas beliau:
Semangat patriotisme perlu dipupuk dan dipelihara agar kemerdekaan Malaysia terus dipertahankan. Sejarah telah membuktikan keagungan empayar itu bukan hanya terletak pada kebijaksanaan pemimpin, tetapi lahirnya daripada permuafakatan rakyat.
Tun Dr. Ismail seorang negarawan yang tiada galang gantinya. Beliau menjadi figura penting dalam tadbir urus dan merupakan tokoh perpaduan negara yang banyak menabur bakti dan memberikan sumbangan dalam usaha mencapai kemerdekaan.
Mengambil semangat negarawan seperti Tun Dr. Ismail, YAB Dato’ Seri Anwar mengajak masyarakat agar bangkit menyelamatkan negara dan menghidupkan sambutan hari kemerdekaan kerana perkara tersebut merupakan tanggungjawab rakyat sebagai warganegara Malaysia. Selain itu, Perdana Menteri turut memberikan penekanan terhadap pembangunan negara dan soal integriti.
Suatu dasar yang jelas dalam memacu negara adalah soal integriti.
Kita perlu bersama-sama untuk membangun menolak kebejatan sosial, rasuah dan penyelewengan kuasa.
Demikian antara ucapan YAB Dato’ Seri Anwar ketika menghadiri Majlis Memperingati Negarawan, Tun Dr. Ismail Al-Haj – Tonggak Perpaduan Negara pada petang ini.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali; Menteri KKD, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dan tetamu kehormat lain, serta ahli keluarga Allahyarham Tun Dr. Ismail.

Sementara itu, Menteri KKD, YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata:
Objektif program ini adalah untuk mendidik dan menyemarakkan semangat patriotik, khususnya generasi muda.
Program ini julung-julung kali diadakan untuk menyemai penghayatan peri pentingnya perpaduan dan keharmonian dalam kestabilan sebuah negara bangsa.
Maka demikian, YB Fahmi Fadzil merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 (HKHM 2023) menyeru orang ramai agar mengambil peluang untuk mengenali sejarah Tun Dr. Ismail yang amat berjasa kepada negara.
Jadikanlah keperibadian negarawan yang terulung itu sebagai inspirasi untuk bersama-sama membentuk Malaysia dengan lebih baik.


Majlis yang dihadiri lebih daripada 10 000 pengunjung itu juga turut disajikan dengan pelbagai program yang menarik. Antaranya termasuklah pameran foto Tun Dr. Ismail, elemen seni budaya tradisional dan sastera, serta tayangan dokumentari khas yang diterbitkan khusus untuk mengenang serta menghargai sumbangan beliau.

Program tersebut turut menampilkan deklamasi sajak oleh Sasterawan Negara ke-15, YBhg. Dato’ Rahman Shaari yang bertajuk “Penyusun Rukun Pengukir Harmoni”, hasil nukilan beliau sebagai menghargai jasa dan bakti Allahyarham Tun Dr. Ismail.