Diterbitkan pada 2 Ogos 2023, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan hasrat agar agensi bertanggungjawab di Perlis dapat mempertimbangkan kerjasama yang boleh dilaksanakan dengan pihak Huawei sejajar dengan perkembangan teknologi pada hari ini.

Tuanku Pemangku Raja bertitah sedemikian bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke Huawei Customer Solution Innovation Centre (CSIC) yang terletak di Tingkat 33, Intermark Mall di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Huawei CSIC merupakan sebuah pusat teknologi terkini yang dibangunkan untuk menjadi hab dan pusat kecemerlangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika menerima penerangan daripada Eksekutif Pakar Penyelesaian Huawei Enterprise Malaysia, Encik Nicholas Yong. 

Pelbagai jenis penyelesaian perniagaan dipamerkan di pusat ini termasuklah penyelesaian generasi kelima (5G) Huawei di seluruh dunia, pembangunan bandar pintar, kenderaan autonomi dan sistem pendidikan pintar Huawei terutamanya dalam pembelajaran hibrid.

Turut dipamerkan ialah sistem teknologi agro dengan teknologi kepintaran buatan yang boleh menjimatkan masa, memantau kualiti dan meramalkan hasil pengeluaran seperti projek pengeluaran kaviar premium di Malaysia yang sedang diusahakan pada masa ini.

Keberangkatan baginda disambut oleh Naib Presiden Jabatan Hal Ehwal Awam dan Komunikasi, Huawei Malaysia, Encik Oliver Liu; Pengarah Akaun Kerajaan Huawei Enterprise Malaysia, Encik Nick Lishan; dan Eksekutif Pakar Penyelesaian Huawei Enterprise Malaysia, Encik Nicholas Yong.

Baginda juga sejurus selepas itu menitahkan agar pihak Pejabat Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) Negeri Perlis; dan Pengerusi serta beberapa orang Ahli Jawatankuasa ICT Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk hadir membuat lawatan dan lanjutan perbincangan bersama-sama pihak Huawei CSIC.

Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis bergambar bersama-sama dengan pegawai dan pihak pengurusan tertinggi Huawei di Huawei Customer Solution Innovation Centre (CSIC) yang terletak di Tingkat 33, Intermark Mall di Kuala Lumpur. 
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi