Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKubang Kerian – Majlis Pelancaran Buku Ahli Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berlangsung pada 30 Julai 2023 di Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Kubang Kerian, Kelantan. Majlis ini disempurnakan pelancarannya oleh Pengarah Kampus Kesihatan USM, YBhg. Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin. Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Haji Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa dan Pengarah Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail.
Dr. Haji Hazami Jahari dalam ucapan alu-aluannya berharap agar kerjasama antara DBP dengan USM diteruskan lagi pada masa yang akan datang. Kerjasama yang bermula pada tahun 2008 telah melahirkan lebih daripada 100 judul ilmiah dan karya kreatif.

Pengarah Kampus Kesihatan USM. Prof Dr. Shaharum Shamsuddin pula berkata bahawa aktiviti penulisan dengan kerjasama DBP yang diketuai oleh Prof. Dr. Nik Hazlina Nik Hussain ini berjaya menyuburkan kesungguhan dan minat yang mendalam terhadap bidang penulisan dalam kalangan warga USM.

Semasa majlis pelancaran buku tersebut, sebanyak tujuh buah buku hasil penulisan ahli perubatan USM telah dilancarkan. Antaranya termasuklah empat buah buku umum yang berjudul Apa yang Anda Perlu Ketahui tentang Hernia, Apnea Tidur: Lena yang Membawa Maut, Aduh Sakitnya: Merungkai Fisiologi Kesihatan dan Apa yang Anda Ketahui tentang Rinitis dan Resdung.
Sementara itu, empat antologi cerpen yang berjudul Isteriku 46XY, Suamiku 47XXY dan Mustajabnya Tahajud Cinta merupakan antara karya kreatif yang berjaya diterbitkan oleh ahli perubatan yang terdiri daripada doktor dan petugas kesihatan yang lain. Mengakhiri ucapannya, ujar Prof. Dr. Shaharum lagi:
Usaha gigih ahli perubatan ini berjaya menyambungkan warga kampus dengan masyarakat awam yang sejajar dengan misi dan visi USM yang sentiasa mahu dekat dengan masyarakat.