Diterbitkan pada 29 Julai 2023, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin


George Town –
 Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang menyaksikan sebanyak 40 kerusi DUN dipertandingkan, iaitu melibatkan sebanyak 1 234 198 pengundi berdaftar di negeri tersebut.

PRN Pulau Pinang pada kali ini turut memperlihatkan Chow Kon Yeow, calon Pakatan Harapan (PH) yang mempertaruhkan kerusi di N.26 Padang Kota, sekali gus menjadi calon Ketua Menteri Pulau Pinang buat penggal kedua di bawah pemerintahan PH bagi negeri tersebut.

Pakatan Harapan menyasarkan akan memenangi majoriti kerusi DUN bagi PRN Pulau Pinang pada kali ini.

Selain Chow Kon Yeow, DAP yang bertanding di bawah PH turut mempertaruhkan tujuh muka baharu daripada 19 calon yang bertanding pada kali ini. Mereka ialah Phee Syn Tze (N.07 Sungai Puyu); Chee Yeeh Keen (N.08 Bagan Jermal); Kumaran Krishnan@Calvin (N.09 Bagan Dalam); Sundarajoo Somu (N.16 Perai); Joshua Woo Sze Zeng (N. 25 Pulau Tikus); Wong Yue Harng (N.27 Pengkalan Kota) dan Connie Tan Hooi Peng (N.32 Seri Delima).

Kedudukan PH dalam PRN Pulau Pinang turut dicabar oleh gabungan parti di bawah Perikatan Nasional (PN) yang menyaksikan sebanyak lima parti komponen, iaitu BERSATU, PAS, PAS-DHPP, BERSATU-BERSEKUTU dan GERAKAN yang bertanding bagi semua kerusi DUN pada kali ini.

Selain PH dan PN, parti BEBAS turut mempertaruhkan sebanyak lima kerusi DUN yang dinyatakan kepada Pegawai Pengurus di semua Pusat Penamaan Calon (PPC) Pulau Pinang, hari ini.

Terdahulu, keputusan PRU ke-14 Pulau Pinang telah menyaksikan kemenangan besar yang diraih oleh PH, iaitu sebanyak 37 kerusi, manakala BN (dua kerusi) dan PAS (satu kerusi).

Senarai penuh calon PRN-15 Pulau Pinang boleh dilihat di sini.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi