Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Derma 2022 yang meraikan pelajar dan guru cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), di Dewan Syed Mahmood, SMK Derma pada hari ini.

Keberangkatan tiba baginda yang turut diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Tuan Naharudeen Othman dan Pengetua SMK Derma, Puan Haliah Othman.
Tuanku Pemangku Raja menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah dengan doa dan harapan agar pelajar serta guru akan berjaya dalam apa-apa jua bidang yang diceburi dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai impian serta cita-cita masing-masing.
Sementara itu, Haliah dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa pencapaian akademik SMK Derma begitu membanggakan dengan sebanyak 12 orang calon mendapat semua A dalam peperiksaan SPM sesi 2022/23.
Muhammad Nazrin Ariefshah Kamal Shah merupakan pelajar terbaik dengan mendapat 9A+ dalam semua mata pelajaran.
SMK Derma telah menunjukkan peningkatan dengan mencatatkan Gred Purata Sekolah 2.48 berbanding tahun sebelumnya 2.66. Peningkatan ini membuktikan komitmen para guru dan pelajar untuk terus meletakkan nama SMK Derma sebaris dengan sekolah-sekolah cemerlang lain.
Gred Purata Sekolah peperiksaan STPM turut mencatatkan peningkatan iaitu daripada 2.57 pada tahun 2021 kepada 2.89 pada tahun 2022. Seorang pelajar telah mencatatkan Purata Nilai gred keseluruhan (PNGK) 4 dan sebanyak tiga orang pelajar memperoleh A dalam semua mata pelajaran.
Pada majlis yang sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah berkenan mengurniakan Anugerah Khas Kokurikulum kepada jaguh tenis Muhammad Annas Farish Annas Shukairy dan juara catur Sharly Hakimy Hamdan, Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2022, Anugerah Pelajar Terbaik SPM Peringkat Negeri Perlis, Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2022 dan Anugerah Ketua Pengawas dan Timbalan Ketua Pengawas kepada 21 orang pelajar yang cemerlang dan terpilih.

Selain itu, sebanyak 22 orang guru telah diberi penghormatan dengan menerima anugerah pada majlis tersebut daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan alumni bekas pelajar sekolah tersebut dari tahun 1980 hingga 1982.
Antara yang dikurniakan oleh baginda ialah Anugerah Khas Guru kepada Siti Faridah Matt, Anugerah Lonjakan Saujana Gred Purata Mata Pelajaran Terbaik, Anugerah Panitia Terbaik SPM 2022, Anugerah Panitia Terbaik STPM 2022 dan Anugerah Jasamu Dikenang kepada bekas Pengetua, Fauziah Abdul Hamid.