Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama anakanda-anakanda, Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1444H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum” kepada rakyat jelata khususnya di negeri Perlis.
Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan, ri’ayah dan pemeliharaan ke hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
“Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Allah Azza Wajalla, tahap kesihatan baginda Tuanku Raja Perlis amat baik dan dalam afiyah,” demikian titah baginda. Tuanku Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah ibni Almarhum Tengku Abdul Rashid turut bersyukur dan menzahirkan terima kasih atas segala doa dan ucapan seluruh rakyat jelata.
Selain itu, Tuanku Pemangku Raja turut mengingatkan kepada seluruh rakyat agar menggunakan kesempatan Aidiladha ini untuk bermuhasabah diri, memperbanyakkan amalan soleh, serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla. “Semoga segala ibadah korban yang dilaksanakan, akan diterima sebagai amalan soleh di sisi Allah Azza Wajalla,” demikian kata baginda.

Selesai menunaikan solat sunat Aidiladha semalam, baginda berdua dan anakanda-anakanda turut berkenan berangkat menyaksikan ibadah penyembelihan korban di kandang Wan Farizal Wan Din di Kampung Paya, Kangar.
Baginda juga tidak melepaskan peluang untuk melapah daging korban bersama-sama penduduk Kampung Paya Tengah, Paya Batas Tinggi dan Padang Pauh. Jemaah melapah ini melibatkan lebih kurang 40 orang dan proses agihan daging korban juga berjalan dengan lancar.

Sebagai rekod, sebanyak 1075 permit menyembelih dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis bersempena dengan Aidiladha pada tahun ini.