Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Pendekatan pengajaran yang kreatif, ceria serta perasaan yang gembira dapat menarik minat pelajar untuk kekal dalam momentum yang optimum.
Selain itu, penerapan elemen kasih sayang dan beradab tinggi dapat meningkatkan semangat dan motivasi para pelajar dalam semua peringkat pembelajaran.
Demikian menurut hebahan media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang disiarkan pada hari ini yang dititahkan oleh Pemangku Raja Perlis Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat mengetuai lawatan khas ke Kompleks Kementerian Pendidikan Ethiopia di ibu negaranya, iaitu Addis Ababa baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut mesra oleh dua Timbalan Menteri Pendidikan Ethiopia, iaitu Dr. Samuel Kifle dan Dr. Fanta Mandefro.
Pada kunjungan berkenaan, baginda berdua diberikan taklimat mengenai usaha Kerajaan Ethiopia dalam melaksanakan transformasi pendidikan dengan mempertingkatkan teknologi dalam mengurangkan permasalahan yang dihadapi dalam sektor pendidikan.

Hal tersebut dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran dalam mempertingkat kadar peratusan membaca serta melaksanakan pembelajaran sepanjang hayat.
Dalam pertemuan tersebut juga, Pemangku Raja Perlis yang turut diiringi oleh Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkongsi pengalaman mengenai usaha Perlis sebagai sebuah Negeri Ilmu melalui pendekatan kerjasama pintar dengan pelbagai pihak sama ada di dalam negara mahupun luar negara.
Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut bertitah,
Model kerjasama antara MAIPs dan Ethiopian Islamic Affairs Supreme Council (EIASC) melalui perjanjian hasrat persefahaman yang ditandatangani boleh dikembangkan untuk diterapkan kepada pelbagai institusi dan agensi pendidikan di Malaysia dan Ethiopia.
Terdahulu, Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis turut mengadakan lawatan ke Sekolah Merwa Academy, di Addis Ababa, iaitu sebuah sekolah rendah yang memberikan fokus terhadap sikap dan konsep pembelajaran praktikal, selain turut mengunjungi Addis Ababa University (AAU) yang ditubuhkan pada tahun 1950 dan merupakan universiti tertua dan terbesar di sana.
MAIPs dalam kerangka memanfaatkan keupayaan yang ada padanya agar dapat dikongsi oleh masyarakat Islam di tempat lain, turut berusaha untuk membolehkan masyarakat di sana melihat ruang kelebihan yang ada pada MAIPs untuk dimanfaatkan oleh mereka.
Untuk rekod, MAIPs mempunyai pengalaman kolaborasi bersama-sama Muhammadiyah Indonesia dalam menubuhkan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Padang Besar, Perlis, selain mempunyai hubungan rapat dengan pihak enam Majlis Agama di Wilayah persisiran Laut Andaman, Thailand.
Selain itu, MAIPs juga pernah menyumbangkan sebuah Kompleks pendidikan yang dijadikan Fakulti al-Quran dan As-Sunnah, Mujamma’ Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, di Fatoni University (FTU), Thailand.
Foto: Ihsan MAIPs