Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Mata Ayer – Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah rakyat hendaklah sentiasa dilindungi dan dijaga kebajikan walau dalam apa-apa jua keadaan. Kebajikan rakyat negeri Perlis adalah satu keutamaan.
Dalam memastikan keselesaan dan kebajikan rakyat negeri ini sentiasa berada pada tahap terbaik, adalah diharapkan supaya setiap perancangan program dan projek pembangunan mengambil kira manfaat yang akan diterima rakyat.
Sebagai contoh, fasiliti awam, kawasan rekreasi dan riadah harus diperbanyakkan, manakala dari aspek penyediaan infrastruktur, agensi yang berkenaan perlu memastikan penyediaan infrastruktur utama seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan jaringan komunikasi sentiasa berada pada tahap yang memuaskan.
Demikianlah titah baginda selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada sebanyak 140 orang asnaf terpilih dalam satu program yang diadakan di Masjid Al-Rashid, Kubang Perun, Mata Ayer, baru-baru ini.
Sumbangan tersebut diberikan kepada 70 penerima dalam kalangan anak kariah Kubang Perun dan 70 penerima lagi dari kariah Panggas. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkapf Yang DiPertua MAIPs.
Keberangkatan baginda turut diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.