Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Peratus calon yang layak menerima sijil SPM 2022 menunjukkan peningkatan kepada 91.6 peratus berbanding dengan 88.1 peratus pada tahun 2021.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Haji Pkharuddin Haji Ghazali berkata bahawa pelaksanaan sesi akademik 2022/2023 dalam fasa endemik ini memberikan ruang kepada calon untuk meningkatkan kesediaan bagi menghadapi peperiksaan dengan lebih baik.
“Peningkatan ini adalah sebanyak 3.5 peratus dan juga merupakan pencapaian terbaik sejak syarat pensijilan 2013 diperkenalkan dan buat julung kalinya, iaitu melebihi 90 peratus,” kata beliau dalam sidang media pengumuman peperiksaan SPM Tahun 2022 di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks E8 Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, tahun ini merupakan tahun kedua format baharu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperkenalkan bagi 75 daripada keseluruhan 95 mata pelajaran yang ditawarkan.
Kesemua mata pelajaran yang diuji adalah berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), yakni diperkenalkan pada tahun 2017 dalam peperiksaan SPM tahun 2021 yang lalu.
Melalui format baharu ini, KPM melaporkan kemahiran lisan murid melalui Ujian Bertutur dan Ujian Mendengar bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Ulas beliau, mata pelajaran Bahasa Inggeris juga dijajarkan kepada Common European Framework of Reference for Languages (CEFR). Penguasaan Bahasa Inggeris calon dilaporkan dalam dua bentuk pelaporan, iaitu dalam gred SPM dan tahap CEFR.
Dalam perkembangan yang sama, Datuk Haji Pkharuddin memaklumkan bahawa jurang pencapaian calon SPM tahun 2022 antara bandar dengan luar bandar semakin mengecil, iaitu sebanyak 0.03 mata berbanding dengan SPM tahun 2021.
Foto: Khai DBP.