Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kehadiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pempamer di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada tahun ini dimeriahkan lagi dengan penampilan sidang editor Bahagian Majalah melalui program “Sembang Editor Majalah (SEM)” di Dewan Tun Razak 3, Aras 3, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) pada pagi tadi.

Program yang berkonsepkan santai tersebut menampilkan barisan sidang editor daripada 11 majalah terbitan DBP seperti Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Bahasa, Dewan Ekonomi, Dewan Budaya, Dewan Kosmik, Dewan Tamadun Islam, Dewan Siswa dan Dewan Pelajar.
Sepanjang program tersebut berlangsung, pengunjung boleh mendapatkan maklumat dan panduan berkaitan dengan penghantaran karya secara bercetak mahupun secara dalam talian yang akan disampaikan oleh para editor majalah.

Menurut Ketua Editor Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar, selain majalah bercetak, para pembaca juga boleh menjadikan portal JendelaDBP sebagai sumber rujukan berkaitan dengan isu semasa yang mampu diakses dengan mudah dan meluas.
Tambah beliau,
Hingga hari ini, DBP telah berjaya diakses sebanyak lebih tiga juta pelayar yang merentasi pelbagai negara.
Beliau turut berkongsi tentang kisah Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Rahman Shaari, iaitu kisah beliau yang menulis ketika bergelar pelajar sehinggakan berjaya diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera.

Pada program yang sama, Timbalan Ketua Editor, Puan Aninah Janang mengatakan bahawa kesemua majalah terbitan DBP mencakupi pelbagai tema yang dapat menarik minat pembaca yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur.
Selain program “Sembang Editor Majalah”, pengunjung juga boleh mendapatkan buku dan majalah terbitan DBP dengan harga yang menarik di reruai DBP sepanjang PBAKL 2023 berlangsung.
