Diterbitkan pada 27 Mei 2023, 13:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini menyatakan bahawa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tahun 2023 telah memasuki edisi ke-40 penganjurannya. PBAKL pada kali ini berlangsung pada 26 Mei hingga 4 Jun 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Majlis Perasmian PBAKL disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin lbrahim, pada 27 Mei 2023 (Sabtu), 2.30 petang di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Penganjuran PBAKL penting dalam menyumbang kepada pembangunan industri buku. Selain meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia, PBAKL berupaya menjadi platform intelektual di negara ini. Hal ini dibuktikan dengan galakan aktiviti perbukuan seperti penulisan penyuntingan, ilustrasi, penterjemahan serta pemasaran buku. Ekosistem perbukuan yang konsisten ini akhirnya akan melahirkan banyak cendekiawan dan ilmuwan sekali gus memberikan pulangan pelaburan sosial kepada negara.

Berkonsepkan budaya membaca sebagai pembentuk keperibadian unggul masyarakat MADANI, PBAKL 2023 mensasarkan sebanyak 900 ribu orang pengunjung dengan mengumpulkan sebanyak 211 syarikat pempamer dalam industri perbukuan melibatkan sebanyak 812 unit reruai. PBAKL 2023 ini turut menonjolkan 10 elemen keterujaan seperti yang berikut:

i.     Pesta Buku Hibrid (PBAKL Fizikal dan Dalam Talian).
ii.    Pusat Dagang Hak Cipta ASEAN (ASEAN Right s Fair).
iii.   China sebagai negara tamu.
iv.   Sarawak sebagai negeri tamu.
v.    Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai kementerian tamu.
vi.   Kumpulan Penerbit Akademik Terbesar (perkumpulan penerbit-penerbit universiti).
vii.  IFLA Junior.
viii. Mandiri di PBAKL 2023.
ix.   BOCA VIP Programme.
x.    Laman Santai Seni.

PBAKL 2023 juga berkolaboratif dengan Shopee sebagai rakan rasmi e-dagang untuk melaksanakan pesta buku secara hibrid manakala TikTok sebagai rakan rasmi media sosial yang menawarkan banyak aktiviti di #BookTokMalaysia, Temui Pembaca di Mana Jua. Penyertaan Media Prima Berhad dan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sebagai rakan strategik juga ialah usaha bagi meningkatkan promosi penganjuran pesta buku ini.

Penganjuran PBAKL selama 10 hari ini dilihat sebagai usaha kerajaan bagi memperkukuh budaya membaca rakyat Malaysia dan memperkasakan industri perbukuan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi