Diterbitkan pada 25 Mei 2023, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Petani – “Pada zaman ini, tidak semestinya orang yang cerdik dan berilmu itu baik budi bahasanya, ada kalanya, mereka juga merupakan penipu yang hebat dan sanggup memperdayakan orang lain tanpa mengenal erti jemu dan bosan. Apa yang penting, sentiasalah berhati-hati daripada menjadi mangsa jenayah.” Begitulah kata-kata Encik Kamal Affendi Hashim sewaktu menyampaikan ceramah anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara (INTURA).

Sebanyak 260 orang kakitangan sektor awam di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, telah mengikuti seminar Executive Lecture Series yang bertajuk “Scammer: Anda Terjerat atau Dijerat” di Dewan Jubli Perak, INTURA, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah, semalam.

Para peserta seminar bergambar bersama-sama.

Program ini merupakan anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara (INTURA). Dalam seminar tersebut, peserta berpeluang mendengar ceramah selama tiga jam yang disampaikan oleh fasilitator dan penganalisis jenayah yang tidak asing lagi di negara ini, iaitu Encik Kamal Affendi Hashim.

Penyelaras program ini, Encik Muhammad Fahmi Mahmud berkata, inilah kali pertama ceramah tentang “scammer” atau “penipu” ini disampaikan kepada kakitangan sektor awam di kawasan utara.

Menurutnya lagi:

Kehadiran peserta termasuklah bakal pesara yang mengikuti seminar ini begitu baik sekali. Mereka dapat bertanyakan pelbagai soalan berkaitan ‘scammer’ atau ‘penipu’ kepada penceramah tersebut, dan rata-rata peserta memperoleh ilmu baharu berkaitan dengan gelagat penipu yang ada di mana-mana sahaja.

Sebelum itu, Encik Kamal Affendi Hashim ketika menyampaikan ceramahnya berkata, kebanyakan mangsa yang membuat aduan di balai polis, hanya mengharapkan wang yang hilang dapat dikembalikan sahaja.

Encik Kamal Affendi Hashim bersama-sama beberapa orang peserta sewaktu menyampaikan ceramah.

Menurutnya lagi:

Penipu yang terdiri daripada orang kulit hitam dan orang kulit putih ini telah diberikan latihan yang sistematik, iaitu untuk memujuk, merayu dan mengeluarkan kata-kata yang manis.

Encik Kamal Affendi juga menyeru agar masyarakat diberikan pendedahan dan kaunseling dalam menangani isu penipuan ini. Seminar yang dianjurkan oleh INTURA ini menunjukkan keprihatinan INTURA dalam mengelakkan kakitangan kerajaan terjebak daripada menjadi mangsa penipuan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi