Diterbitkan pada 20 Mei 2023, 11:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Pemangku Raja Perlis merasmikan Majlis Riang Ria Aidilfitri UniMap, hari ini.

Arau – Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat bagi memeriahkan lagi Majlis Riang Ria Raya Aidilfitri Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2023 yang diadakan di Dewan Serbaguna UniMAP, Kampus Kubang Gajah, Arau, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Raja Dato’ Azwane Raja Ariff, Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Ir. Zaliman Sauli dan para pegawai utama universiti.

Majlis ini dihadiri hampir 5000 tetamu termasuk pelajar. Warga kerja tersebut diceriakan dengan pelbagai persembahan menarik. Antaranya, persembahan Cak Lempong yang dipersembahkan oleh pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Teknologi Awam, persembahan tarian dan nyanyian lagu raya daripada pelajar, kakitangan UniMAP dan banyak lagi.

Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis berkenan melawat gerai yang menyediakan juadah di Majlis Riang Ria Aidilfitri UniMap.

Dr. Zaliman dalam ucapan alu-aluannya berkongsi berita yang membanggakan apabila mahasiswa Diploma Kejuruteraan Mekatronik yang berasal dari Kampung Teluk Epa, Utan Aji, Perlis, iaitu Athachai Saiprawat a/l Kiang telah berjaya meraih pingat Gangsa dalam acara Kun Kru di Sukan SEA Kemboja 2023.

UniMAP turut mencipta nama di Pameran Reka Cipta dan Inovasi Antarabangsa (ITEX) ke-34 di Kuala Lumpur Convention Centre kerana telah berjaya meraih lapan pingat emas dan dua perak.

Lebih manis, UniMAP turut dianugerahkan “Henry Goh Award for Best Invention in Environmental Innovation” menerusi produk ePANECEA: Enhanced Alkaline Earth Silicate of Rice Husk Ask Origin for Free Fatty Acid Extraction from Waste Frying Oil, hasil penyelidikan sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Ts. Dr. Hoo Peng Yong yang turut meraih pingat emas pada Malam Budaya Cipta ITEX 2023 berkenaan.

Beliau juga bangga akan kejayaan sekumpulan pelajar UniMAP yang telah meraih 100 peratus pingat, iaitu enam pingat emas dan empat pingat perak di Pameran Inovasi Antarabangsa European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT) 2023 di Lasi, Romania.

Tambah Dr. Zaliman lagi,

Malah, dua pelajar kita, Muhammad Amirul Aiman A. Ramlee dan Reshikesan a/L Ravi telah memenangi Anugerah Khas bagi produk inovasi bertajuk Green Lead-free Sn-Cu Transient Liquid Phase Die-bonds for Geopolymer Crumb Rubber .

Tuanku Pemangku Raja yang juga Canselor dan Tuanku Raja Puan Muda selaku Pro Canselor menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga universiti atas kejayaan mengharumkan nama universiti dan juga negeri Perlis serta berharap UniMAP akan terus melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berkualiti, cemerlang dari aspek akademik, sekali gus mempunyai keperibadian yang tinggi.

Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis berswafoto bersama-sama pelajar UniMap.
Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis berkenan melawat gerai yang menyediakan juadah di Majlis Riang Ria Aidilfitri UniMap.
Pemangku Raja Perlis berkenan memotong kambing golek dengan disaksikan oleh Raja Puan Muda Perlis dan Prof. Datuk Dr. Ir. Zaliman Sauli.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi