Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Penekanan terhadap nilai integriti dan etika bekerja antara tonggak penting dalam sesebuah organisasi bagi membanteras ketirisan seperti isu salah guna kuasa dan rasuah.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari berkata, nilai integriti sangat penting, apatah lagi bagi sebuah agensi atau jabatan di bawah kementerian yang memperjuangkan bahasa kebangsaan.
Warga DBP memerlukan cabaran dan dugaan agar terus unggul dan dapat memberikan khidmat kepada masyarakat dan negara. Sentiasa terbuka dengan teguran dan juga cadangan yang baik, serta sentiasa bersedia memperbaik kelemahan itu jadi semangat antara satu sama lain.
“Dengan terus beristiqamah mengangkat mutu penyampaian perkhidmatan – membaiki mutu produk, saya yakin kita boleh melonjakkan semula citra DBP yang dipandang sinis oleh orang sekeliling.
Demikianlah inti pati ucapan beliau dalam Perhimpunan Bulanan DBP dan Ikrar Bebas Rasuah yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi tadi.
Tahun ini, berbaki beberapa bulan sahaja lagi, DBP bakal menginjak usia 67 tahun dan saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan dirgahayu DBP.
Jelas beliau, semua warga DBP hendaklah bersiap siaga agar aktiviti yang dirancang dan disusun dapat dilaksanakan dengan baik dan bukanlah hanya setakat melaksanakannya, seperti melepaskan batuk di tangga.
Sebagai penjawat awam, disiplin serta sikap berkira dalam melaksanakan tugas merentas unit atau bahagian yang menjadi budaya tidak sihat yang harus dihentikan.
“Situasi tidak sihat ini harus dihentikan sebelum terus menular dan menjejaskan organisasi ini.
Ulas beliau dengan lebih lanjut dalam memastikan DBP terus unggul, malah dapat memberikan khidmat yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara.