Diterbitkan pada 13 Mei 2023, 21:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menghadiri Majlis Syarahan Perdana Profesor Datin Dr. Raihanah Haji Abdullah di Auditorium Mohd Asri Muda, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, hari ini.

Kuala Lumpur – Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pengarah Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Profesor Datin Dr. Raihanah Haji Abdullah atas sumbangan beliau dalam mempertahankan hak asasi wanita, kanak-kanak dan orang kurang upaya.

Tuanku Raja Puan Muda Perlis bertitah bahawa Profesor Datin Dr. Raihanah merupakan seorang ahli akademik yang dihormati. Beliau memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Akademi Pengajian Islam UM walaupun bercita-cita pada awalnya untuk menjadi seorang peguam syariah.

Menurut baginda, kepakaran beliau adalah dalam bidang yang melibatkan hak asasi wanita, isu berkaitan dengan keganasan terhadap wanita dan hak asasi manusia kumpulan masyarakat terpinggir seperti warga tua, kanak-kanak dan orang kurang upaya.

“Tahniah dan syabas atas segala pencapaian Dr. Raihanah sama ada di dalam mahupun di luar bidang akademik,” titah baginda semasa menghadiri Majlis Syarahan Perdana yang berlangsung di Auditorium Mohd Asri Muda, Akademi Pengajian Islam, UM, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Dekan Akademi Pengajian Islam UM, Dr. Mohd Fauzi Hamat dan Profesor Kehormat, Akademi Pengajian Islam, Dr. Ahmad Hidayat Buang.

Profesor Datin Dr. Raihanah sedang menyampaikan perkongsian mengenai isu budaya dan perundangan Islam berkaitan dengan keganasan terhadap wanita.

Majlis Syarahan Perdana tersebut diadakan adalah bersempena meraikan syarahan perdana Profesor Dr. Raihanah yang bertajuk “Indelible Scars on an Injured Soul: An Appraisal of Islamic Cultural and Legislative Issues Related to Violence Against Women and Girls”.

Baginda turut bertitah bahawa atas prestasi akademik yang cemerlang, Profesor Datin Dr. Raihanah telah dinaikkan pangkat menjadi Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam di UM selepas menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah. Kemudiannya, beliau dinaikkan pangkat sebagai Profesor pada tahun 2015, yakni menjadikan beliau sebagai pensyarah wanita pertama di Akademi Pengajian Islam UM.

Tambah baginda, “Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Dr. Raihanah juga sering diundang muncul di program televisyen tempatan untuk berkongsi mengenai perkara berkaitan dengan hak wanita dalam perspektif Islam.”

“Hal ini lebih ketara apabila pelibatannya dalam program dan aktiviti jangkauan ini bertindak sebagai pembuka mata yang membolehkannya melihat sendiri keadaan dalam masyarakat, khususnya wanita dan kanak-kanak.”

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi