Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 150 orang peserta Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 Tahun 2023 berpeluang memahami kepentingan Sistem Pemerintahan Beraja dan mendapat motivasi daripada DYMM Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizzuddin Putra Jamalullail dalam Program Titipan Titian Kasih yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, semalam.
Titah Tuanku Pemangku Raja,
Peserta MFLS Tier 3 merupakan aset berharga yang telah di asah bakat dan didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan program untuk mengembangkan potensi sebenar mereka.
Menurut baginda, program ini merupakan modul program di bawah elemen kenegaraan, iaitu Institusi Beraja.
Program ini perlu dilakukan bagi mendekatkan rakyat, khususnya golongan belia dengan Institusi Beraja, selain memahami realiti dan fakta tentang kepentingan sistem pemerintahan beraja atau sistem kesultanan.”
“Malahan program ini turut membentuk legasi kepimpinan negara pada masa hadapan bagi melahirkan generasi yang mempunyai mentaliti kelas pertama.
Demikianlah titah baginda dalam Majlis Titipan Titian Kasih Bersama Tuanku Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), yakni merupakan tahun kedua disempurnakan oleh baginda berdua.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pengarah i-LEAD, Mohd Haswandi Ahmad, Presiden Majlis Perwakilan MFLS, Muhamad Fahim Mohd Farid dan Timbalan Presidennya, Putry Balqees Aqasyah Mohd Fadhly.
Turut hadir bersama dalam program dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, Ketua Setiausaha KBS, Nagulendran Kangayatkarasu dan Pengurusan Tertinggi KBS.
Mengulas lanjut, program ini sedang berlangsung secara bersemuka bermula pada 5 hingga 19 Mei 2023.
Antara objektif utama program MFLS Tier 3, termasuklah mengutamakan tujuh elemen penting, iaitu kepimpinan, pembentukan watak dan jati diri, kenegaraan, keusahawanan, kesukarelawanan, komunikasi dan pengantarabangsaan.
Selain itu, terdapat pengisian lain seperti Bicara Tamu, Komunikasi Berimpak Tinggi, Bicara Ikon, Bicara Kenegaraan, Karnival Sukan, Kesukarelawanan, Outreach Agensi, Lawatan Parlimen dan ASEAN Cultural Heritage.
Menurut penganjur, mereka dipilih melalui proses saringan dan sesi temu duga yang telah dilaksanakan di seluruh negara pada 17 hingga 21 Mac 2023 lalu.
Peserta MFLS Tier 3 dipilih berdasarkan 150 orang yang terdiri dalam kalangan peserta terbaik daripada program MFLS Tier 2 pada tahun 2020, 2021 dan 2022.