Diterbitkan pada 3 Mei 2023, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana semasa menghadapi cuaca panas dan kering berpanjangan yang sedang melanda negara.

Fenomena cuaca panas dan kering yang melanda di negara ini merupakan keragaman iklim yang berlaku secara tidak tetap yang boleh mencetuskan gelombang haba yang memudaratkan kesihatan.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh KPM pada hari ini, KPM bersetuju untuk memberikan kebenaran khas kepada murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikan bawah KPM untuk memakai pakaian sukan yang sopan bagi mengelakkan sebarang komplikasi terhadap kesihatan.

Selain memberikan kebenaran bagi murid untuk berpakaian sukan,  murid yang memakai pakaian seragam sekolah juga diberikan kebenaran untuk tidak memakai tali leher.

Dalam kenyataan yang sama, KPM turut meminta agar pihak sekolah untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa supaya tindakan segera dapat diambil bagi menjamin kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana.

KPM sentiasa mengambil berat kesejahteraan seluruh warganya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi