Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kangar – Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Zaliha Mustafa berbesar hati menyertai dan mengiringi Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam usaha menyelami usaha menyantuni golongan asnaf di negeri Perlis.
Menurut beliau, program kayuhan tersebut selain mengamalkan amalan gaya hidup sihat, program ini juga dapat bermesra dan berkongsi rezeki, malah mengeratkan hubungan yang baik.
Dari pemerhatian saya, program ini bukan sahaja dipelbagaikan malah menjadi satu instrumen yang membuatkan rakyat berasa sangat dekat dengan pimpinan tertinggi negeri, khususnya baginda dan pimpinan daripada agensi negeri dan persekutuan yang lain.
“Saya berasa amat kagum dapat melihat sendiri kemesraan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama rakyat jelata,” kata Dr. Zaliha Mustafa dalam Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di pekarangan Kompleks Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Jalan Raja Syed Alwi Kangar, semalam.
Program kayuhan sejauh 15 kilometer tersebut turut disertai sama oleh Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Norhayati Rusli dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr. Asmayani Khalib.
Hadir menyambut ialah Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Ismuni Bohari; dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor yang turut membentangkan senarai kerjasama yang sedang dan akan dilaksanakan oleh MAIPs bersama-sama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis demi untuk kesejahteraan hidup masyarakat di negeri Perlis ini.
Mengulas lanjut, Menteri Kesihatan itu juga berharap agar Program Kayuhan MAIPs Peduli ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa dan program seperti ini dapat dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain.
Beliau turut menyatakan program kali ini bukanlah kali pertama dan kali terakhir buat dirinya dan pasukan akan hadir ke Perlis malah banyak lagi kerjasama yang dapat dijalankan bersama pimpinan negeri Perlis ini.

Dalam perkembangan yang lain, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan singgah ke tiga buah lokasi rumah kediaman asnaf terpilih sekitar Kampung Kota dan Kampung Guar Syed Alwi di Kangar.
Tiga asnaf bernasib baik berkenaan ialah Amir Mat Alim, 36; Abdullah Yusof, 77; dan Hamzah Chat, 74. Masing-masing menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM700 daripada MAIPs yang disampaikan sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs.