Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Presiden Kelab Golf Putra (KGP) berharap agar semua ahli dan juga ahli jawatankuasa (AJK) kelab akan sentiasa bersatu padu dan berusaha sebaik-baik mungkin untuk bersama-sama memajukan satu-satunya kelab golf di negeri Perlis tersebut.

Baginda yang turut berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Golf Putra (KGP) Perlis kali ke-46 bagi sesi 2022-2024 yang diadakan di Bilik Mesyuarat KGP Perlis, di Sungai Batu Pahat pada pagi tadi turut menyampaikan titah ucapan baginda.
Dalam titah ucapan baginda,
Pada tahun 2022, situasi ekonomi telah memberikan kesan terhadap kos operasi kelab terutamanya dengan kenaikan kos gaji dan juga kos sewaan buggy. Pelaksanaan gaji minimum telah dinaikkan sebanyak 25% manakala kos sewaan buggy pula telah bertambah sebanyak 20% setahun.
Situasi kenaikan kos utama ini telah memberikan suatu cabaran kepada KGP Perlis ketika berhadapan dengan pengurusan aliran tunai.
Walau bagaimanapun, terdapat peningkatan terhadap kutipan green fees dan juga kemasukan keahlian baharu sebanyak 41 orang peserta.

Baginda berharap agar ahli jawatankuasa kelab dapat menyusun dan mengambil langkah yang terbaik agar lapangan golf dan juga rumah kelab tersebut akan sentiasa berada dalam keadaan yang memuaskan.
Pada majlis yang sama, baginda juga menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada ahli yang telah mengambil inisiatif untuk bergotong-royong dan membantu membersihkan kawasan kelab golf tersebut.
Inisiatif tersebut dapat membantu KGP Perlis dalam usaha untuk mengurangkan kos penyelenggaraan dan hasil daripada kebersihan padang golf tersebut boleh menarik minat pemain golf dari luar Perlis untuk datang bermain di lapangan golf tersebut dan sekali gus menyemarakkan lagi sektor pelancongan sukan di negeri ini.
Tambah baginda,
Barisan AJK juga telah membantu mengurangkan kerosakan lapangan yang berpunca daripada hidupan liar dengan memasang perangkap dan penggera, namun masalah tersebut masih belum dapat diatasi sepenuhnya.
Tuanku Pemangku Raja Perlis turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kerja Raya yang sentiasa memberikan perhatian terhadap Lapangan Golf KGP Perlis dan juga rumah kelabnya itu.