Diterbitkan pada 18 April 2023, 13:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Wanita atau ibu merupakan tonggak utama dalam membangunkan kemahiran insaniah anak-anak dalam arus digital. Walaupun pada zaman ini, rata-rata para ibu juga adalah berkerjaya tetapi kepentingan utama bagi seorang ibu adalah keluarga.

Kemajuan digital memudahkan komunikasi dan interaksi dalam kalangan ahli keluarga meskipun mereka berada jauh di antara satu sama lain. Hubungan ahli keluarga dan masyarakat menjadi lebih akrab dibantu oleh kemajuan era ini.

Demikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis,  Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan merasmikan Penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) – Women In Search of Excellence yang bertajuk Sentuhan Keibuan Dalam Membangunkan Kemahiran Insaniah di Era Digital.

Webinar Siri ke-20 tersebut merupakan anjuran bersama antara pihak YTF dengan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE). Webinar tersebut turut mendapat kerjasama teknikal daripada Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Perlis.

Sebelum titah Tuanku Raja Puan Muda merangkap Pengerusi YTF, turut disampaikan ialah ucapan oleh Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Webinar pada kali ini turut disertai oleh panel wanita dan pakar dari universiti dalam dan luar negara seperti Prof. Dr. Lua Pei Lin; Prof. Adjuct Dr. Marniati, Rektor Universitas Ubudiyah, Indonesia; Prof. Dr. Xiaoyang Muo, University of Yamanashi, Jepun; serta Prof. Madya Dr Amani Ali, mantan pensyarah UniMAP berasal dari Mesir. Manakala Anis Jazilah Azmin yang merupakan Pengarah Pusat Bahasa dan Pengajian Umum, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bertindak sebagai Pengulas.

Perasmian pembukaan pada sebelah paginya disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizzuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga Penasihat DiRaja YTF.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi