Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Sebanyak 90 orang anak yatim dan anak asnaf di negeri Kedah diraikan oleh kakitangan Hospital Pantai Sungai Petani (HPSP) di Hotel Swiss Avenue Sungai Petani, Kedah semalam.
Kesemua kanak-kanak tersebut dari Akademi Darul Iftak Sungai Layar Hujung, Sg Petani, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Insan Berkat Sg Petani, Rumah Gemilang Sik dan Pertubuhan Anak Yatim Jariah Qaseh Bandar Amanjaya Sungai Petani.
Ketua Pegawai Eksekutif HPSP, Tio Bee Chan berkata, “Apabila diraikan seperti ini, mereka berpeluang untuk menikmati pelbagai jenis makanan pilihan masing-masing dalam keadaan begitu ceria sekali.”
“Terima kasih diucapkan kepada semua kerana sudi meluangkan masa dan memenuhi jemputan untuk sama-sama berbuka puasa sempena bulan Ramadan di tahun ini,” ujarnya.
Tambahnya, Ramadan bukan hanya bulan untuk menahan dahaga dan lapar, namun bulan ini juga mengajar erti sabar, pengorbanan dan rasa syukur dengan rezeki yang diberikan oleh Tuhan.
Program tersebut merupakan aktiviti amal tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi meraikan anak-anak yatim dan golongan asnaf yang dianjurkan buat julung-julung kalinya selepas pandemik COVID-19 melanda negara.
Tio Bee Chan turut memaklumkan bahawa objektif utama program tersebut diadakan adalah untuk mewujudkan keprihatinan terhadap golongan yang kurang berkemampuan dalam bulan Ramadan ini.
“Saya berharap lebih banyak syarikat khususnya badan korporat yang lain untuk bersedekah dan beramal, sama ada untuk golongan anak yatim, ibu tunggal atau golongan asnaf yang kurang berkemampuan di negeri ini,” ulas beliau lagi.

Pada masa yang sama, beliau turut memberikan sumbangan dan hadiah Hari Raya kepada kanak-kanak itu serta hamper kepada pihak pengurusan pusat kanak-kanak berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam HPSP, Noor Yasmin Farahanim Abd Wahab berkata bahawa melalui program seumpama ini dapat mewujudkan hubungan baik antara kakitangan HPSP dengan pihak luar di negeri Kedah, amnya.