Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Lapan orang anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) yang berasal dari Perlis yang bertugas di FOB Tun Azizan di Sandakan, Sabah berasa sungguh bertuah dapat mengadap dan beramah mesra dengan Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Majlis Berbuka Puasa yang diadakan atas kapal auksilari baru-baru ini.
Tuanku Raja Muda yang berangkat ke sana bagi mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Perlis ke “Eks PerBah 2023” turut gembira di atas kesempatan dapat bertanya khabar dengan anak jati Perlis tersebut.
Tambah istimewa sempena lawatan ke Sabah pada kali ini juga baginda diiringi sama oleh Panglima 5 Divisyen Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab, yang membesar dan bersekolah di Perlis dan juga Pengarah Hospital Duchess of Kent Sandakan, Dr. Mohd Fahmie Datuk Dr. Othman yang juga berasal dari Kangar, Perlis.

Dalam titah ucapan baginda, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah mengingatkan kepada semua agar sentiasa peka terhadap pengawalan perairan dan sempadan negara yang masih perlu diperkasakan dan diperketatkan lagi bagi mengelakkan sebarang bentuk pencerobohan, penyeludupan dan memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terjamin.
Menurut Tuanku lagi, semua anggota TLDM, pasukan keselamatan dan agensi-agensi berwajib di sempadan negara yang lain juga dimohon supaya terus-menerus mempertingkatkan lagi kawalan dengan penuh berdisplin, cekal dan berintegriti.
Titah baginda:
Pada masa yang sama marilah kita semua mendoakan keselamatan dan menghargai jasa mereka yang terus kekal menjadi barisan hadapan negara pada setiap masa.

Sempena kunjungan tersebut juga, Tuanku Syed Faizuddin Putra bagi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan bernilai RM2000 kepada pengurusan kapal itu yang diterima oleh peneraju serta pemimpinnya, Komander Abdul Manan Mazlan untuk tujuan aktiviti dakwah.
Demikian menurut hebahan media MAIPs.