Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berangkat pulang yakni dibenarkan keluar dari Hospital Putrajaya kelmarin, iaitu Jumaat, 7 April 2023 pukul 3.30 petang, setelah selamat menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan pada Sabtu, 1 April 2023 yang lalu.
Baginda yang diiringi Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid akan bersemayam dan mendapatkan rawatan pemulihan selanjutnya di Istana Perlis, Kuala Lumpur sehingga Baginda pulih sepenuhnya.
Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Istana Arau hari ini.
Dizahirkan melalui Tuanku Pemangku Raja juga, Tuanku Raja Perlis dan Tuanku Raja Perempuan Perlis menitahkan ucapan terima kasih serta penghargaan yang tidak terhingga kepada pasukan kesihatan terutamanya kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta seluruh warga Hospital Putrajaya (HPj) yang mempersembahkan perkhidmatan dan komitmen yang baik sepanjang tempoh Baginda menjalani pembedahan dan menerima rawatan di hospital berkenaan.
Ucapan terima kasih daripada Baginda berdua juga ditujukan kepada seluruh rakyat negeri Perlis dan semua kaum kerabat serta kenalan yang sentiasa mendoakan kesihatan, kesejahteraan dan keafiatan Baginda.
Tidak lupa juga sekalung penghargaan buat semua tetamu yang sudi melapangkan masa hadir, selain mempersembahkan bingkisan juadah, bunga-bungaan dan cenderahati kepada Baginda.
Pada Selasa, 4 April 2023, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah berkenan berangkat ke Hospital Putrajaya untuk menziarahi Tuanku Raja Perlis.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli juga turut mengadap Baginda di Hospital Putrajaya.
Tidak terkecuali dif-dif kenamaan lain yang juga turut hadir ke Hospital Putrajaya bagi mengucapkan selamat sembuh kepada Baginda termasuklah Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Dr. Zulkapli Mohamed serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.