Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Universiti Awam (UA) Malaysia merupakan nadi utama negara dalam menghasilkan graduan yang holistik dan cemerlang dalam memenuhi keperluan sumber manusia negara.
Bagi menyahut keperluan tersebut, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menganjurkan Program Latihan Intensif Bakal Komander (LIBK) dan Latihan Intensif Brass Band (LIBB) yang melibatkan sebanyak 69 Pelatih LIBK Siri ke-58 dan ke-67 dan Pelatih LIBB Siri ke-20.
Kesemua pelatih ini telah berjaya menamatkan sesi latihan yang telah diadakan pada 5 Mac 2023 dan berakhir pada 16 Mac 2023.
LIBK merupakan keperluan dan syarat wajib bagi pengambilan ahli baharu pada setiap tahun, iaitu setiap pelatih perlu menjalani latihan asas sebelum bergelar Komander Kesatria UiTM dengan anugerah pangkat permulaan, iaitu Komander Rendah Muda (KRM).
Kedua-dua latihan ini merupakan program tahunan yang dikendalikan oleh Unit Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar di seluruh sistem UiTM.
Matlamat dan objektif program latihan ini adalah untuk mempersiapkan pelatih dengan ilmu kepimpinan, selain memupuk semangat kerja berpasukan yang sihat dalam setiap aktiviti yang dijalankan dan membangunkan semua aspek kemahiran insaniah (KI) dalam kalangan pelatih.

Terdapat pelbagai aktiviti dan modul diadakan sepanjang LIBK dilaksanakan seperti modul ikhtiar hidup, peta dan kompas, tempur tanpa senjata (TTS), kawad kaki, kawad tongkat, latihan fizikal, tali tinggi, modul kepimpinan dan protokol.

Bagi LIBB pula, pelatih telah didedahkan mengenai modul yang berkaitan dengan tatacara mengiringi perbarisan kawad kaki bagi tamat latihan dan kawalan kehormatan, teknik dan penguasaan persembahan (colour guard), latihan lanjutan mengikut seksyen dan alatan, serta beberapa modul khas lain yang telah disusun.
Pada majlis yang sama, sebanyak lima anugerah pelatih terbaik daripada LIBK dan sembilan anugerah pelatih terbaik daripada LIBB turut diberikan bagi menghargai pencapaian cemerlang pelatih sepanjang latihan tersebut.
Selain itu, Majlis Pemakaian Pangkat kepada para pelatih juga telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Brig. Jen. (K) Prof. Madya Ts, Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi (KEST), diiringi oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Kolonel (K) Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor (KEST), dan Ketua Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Mejar Muhammad Najib Mohd Redzwan (KEST).
Majlis ini juga turut disaksikan oleh Pegawai Kehormat Kesatria UiTM Cawangan Perlis, Ketua Unit Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis dan ibu bapa pelatih berkenaan.