Diterbitkan pada 31 Mac 2023, 22:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Menurut hebahan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional atau lebih dikenali sebagai TVET melahirkan banyak peluang yang telah mengubah kehidupan rakyat. Gabungan ilmu dan kemahiran yang tinggi dapat menghasilkan modal insan yang cemerlang dan berkualiti.

Menurut baginda,

Pembangunan modal insan ini penting dalam mendepani cabaran pada masa akan datang bagi melahirkan keperibadian rakyat yang unggul.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Pada masa yang sama, baginda turut berharap agar hasrat jabatan politeknik dan kolej komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkasakan institusi TVET untuk mentransformasikan politeknik dan kolej komuniti dalam bidang TVET negara dapat direalisasikan.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Pusat Kajian dan Akuakultur Politeknik Sandakan (PS) di Sabah pada hari ini.

Keberangkatan tiba baginda sempena program pembangunan modal insan Titian Kasih yang dianjurkan oleh YTSP Perlis itu disambut oleh Pengarah Politeknik Sandakan, YBrs. Mohd. Sani Said.

Bersempena dengan program tersebut, Tuanku Raja Muda selaku Pengerusi YTSP Perlis turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan kepada pihak Politeknik Sandakan daripada beberapa buah rakan strategik yayasan berkenaan dalam kalangan para peserta mengiringi baginda yang berjumlah sebanyak RM2000 daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk tujuan pelaksanaan aktiviti dakwah serta pemberian komputer riba kepada dua orang pelajar terpilih oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Tuanku Raja Muda berkenan untuk menanam pokok Bambangan yang ditanam di sekitar kawasan pekarangan Pusat Kajian dan Akuakultur Politeknik Sandakan.

Sebagai simbolik peringatan kunjungan penuh bersejarah tersebut, baginda turut berkenan menanam sepohon pokok Bambangan atau nama saintifiknya, iaitu Mangifera Pajang di pekarangan pusat kajian tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi