Diterbitkan pada 13 Mac 2023, 17:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Usaha kerja-kerja membaik pulih rumah golongan asnaf wajar dipuji dan diberikan sokongan agar masyarakat terus peka akan kebajikan dan pendidikan demi masa depan yang cerah.

Demikianlah titah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian program Jalinan Kasih Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Rural Capital Berhad (RCB) 2023 yang dilaksanakan di perkarangan Masjid Saidina Uthman Al-Affan Kampung Surau, Kangar pada semalam.

Keberangkatan tiba baginda ke program yang dianjurkan mengambil sempena sambutan Hari MARA ke-57 dan juga ulang tahun RCB ke-10 itu disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Zulfikri Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Rural Capital Berhad, Haji Hiruddin Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif  Petronas Lubricant Marketing Malaysia Sdn. Bhd., Mohd. Zameer Zahur Hussin.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Dalam majlis tersebut, Datuk Zulfikri Osman mengatakan bahawa kerja-kerja membaik pulih rumah golongan asnaf telah yang dilakukan oleh pelatih GIATMARA melalui peruntukan daripada RCB sebanyak RM23 539.76.

Selain itu,  sumbangan bernilai RM5000 turut diberikan kepada Rumah Seri Kenangan, Kangar bagi membantu keperluan semasa.

Program CSR yang melibatkan golongan asnaf seumpama ini akan dilaksanakan secara berterusan melalui beberapa siri program yang telah dirancang menerusi usaha sama melibatkan MAIPs antaranya, usaha atau inisiatif untuk menempatkan anak-anak asnaf menyambung pengajian ke mana-mana institusi pendidikan MARA.

Tambah beliau,

Selain daripada aktiviti bersifat komersial, RCB juga giat melaksanakan aktiviti berbentuk CSR. Pelaksanaan program khidmat masyarakat MARA melalui anak-anak syarikatnya turut menawarkan pelbagai bentuk perkhidmatan. Bahkan, MARA turut memberikan fokus kepada aspek keusahawanan khususnya dalam membangunkan masyarakat luar bandar.

Dalam perkembangan lain, program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli bersama MARA dan RCB turut dilakukan bagi menyantuni rumah keluarga asnaf. Penyampaian sumbangan wang zakat MAIPs tunai bernilai RM700 diberikan kepada setiap seorang beserta kit MAIPs Peduli berisi makanan asas dan beras fidyah diagihkan. Asnaf terpilih berkenaan turut menerima sumbangan tambahan yang disampaikan oleh Mohd. Zameer bagi pihak Petronas Lubricant Marketing Malaysia Sdn. Bhd.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi