Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelbourne – Melalui inisiatif tanggungjawab Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam agihan ibnu sabil dan pengantarabangsaannya, sumbangan awal Tabung Ibnu Sabil MAIPs berjumlah RM5000 akan disalurkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand dalam masa terdekat.
Demikian menurut kenyataan MAIPs yang dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne, Marzita Marzuki yang akan menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand pada minggu ini.
Pemberian sumbangan ini bertujuan membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan ke suatu tempat yang akan disumbangkan kepada pejabat Perwakilan Malaysia terpilih di luar negara.
Berdasarkan kenyataan tersebut, DYTM Raja Muda Perlis turut bertitah, ”Pendidikan yang baik pada peringkat yang lebih tinggi mampu mengubah kehidupan seseorang untuk menjadi lebih baik bukan sahaja dalam bidang akademik, malah membentuk minda dan mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan yang dilaksanakan.”
Para pelajar yang telah tamat persekolahan sewajarnya mencari peluang untuk menyambung pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi agar dapat mengubah diri dan keluarga untuk berada dalam keadaan yang lebih baik dan selesa, terutamanya dalam mencari pengalaman berdikari dan memberanikan diri mencuba sesuatu yang baharu.
Baginda dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat ke Melbourne bagi menghadiri majlis graduasi anakanda puteri kedua baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Farah Adriana Jamalullail yang telah tamat pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Pengurusan) di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) University. Pada masa yang sama, baginda berdua turut berangkat ke Hobart, Tasmania yang merupakan kunjungan pertama kali ke sana.