Diterbitkan pada 2 Mac 2023, 12:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berikutan hujan lebat yang berterusan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan berdasarkan Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil.1/2001.

Menurut KPM, setakat ini, sebanyak 17 buah pusat peperiksaan di Johor, Pahang dan Sarawak dikenal pasti tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalan raya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

Sebanyak 431 calon terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan yang berhampiran.

KPM melalui Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon yang terlibat dan penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan bagi kesemua 431 calon tersebut.

Walau bagaimanapun, KPM mengulas lebih dalam kenyataan pada hari ini,

Di Johor dan Pahang, sebanyak 195 calon terkesan dengan banjir, namun berjaya digerakkan ke pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan.

Dalam situasi ini, KPM mengingatkan agar semua calon peperiksaan memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran.

Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara seperti di lampiran. Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri.

Susulan daripada itu, KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan akan terus memantau situasi banjir sepanjang peperiksaan SPM tahun 2022 berlangsung.

“KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” ujar kenyataan itu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi