Diterbitkan pada 27 Februari 2023, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mengadakan pertemuan dengan Ketua Perwakilan Qatar ke Malaysia yang baharu, iaitu Ambasador Salah Mohamed Al-Sorour di ibu negara semalam.

Hadir sama ialah isteri beliau, Asmaa Abdul Rahmab Al-Hail. Salah Mohamed Al- Sorour menerima watikah pelantikan dan Majlis Menghadap daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 21 Februari baru-baru ini.

Tuanku Raja Muda mengucapkan selamat datang serta selamat bertugas di Malaysia kepada Ambasador Salah Mohamed Al- Sorour dan baginda amat berharap agar kerjasama antara Perlis dengan Qatar akan bertambah erat pada masa hadapan khususnya melibatkan hasrat Baladna Food Industries dari negara tersebut untuk melabur dalam industri tenusu di Perlis.

Pada Disember yang lalu, Tuanku Raja Muda berada di Doha, Qatar bagi menyaksikan  pertandingan bola sepak Piala Dunia FIFA dan turut meluangkan masa berangkat melawat fasilitet ladang Baladna yang merupakan sebuah daripada syarikat pengeluar produk tenusu terbesar di rantau Asia Barat yang berkeluasan 2.6 juta meter per segi dan mempunyai sebanyak 24 000 ekor lembu tenusu.

Ketika di Doha tempoh hari juga, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dipersembahmaklumkan oleh Duta Besar Malaysia ke Qatar, Encik Zamshari Shaharan bahawa negara tersebut merupakan sebuah daripada negara yang terkaya di dunia kerana mempunyai hasil minyak dan gas yang banyak walaupun populasi penduduknya yang kecil. Berpandukan pelan pembangunan mampan “Qatar National Vision 2030”, Qatar aktif dalam meneroka peluang kerjasama dengan Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan tinggi, modal insan (MTCP), kesihatan, pertanian, bantuan kemanusiaan, perundangan dan pencegahan rasuah.

Tambah Encik Zamshari Shaharan, “Malaysia juga sedang menggiatkan promosi pelancongan, kebudayaan dan kesenian di Qatar dengan mengambil kesempatan sedia ada kerana negara berkenaan merupakan hab transit udara dan menjadi tumpuan dunia melalui penganjuran pelbagai kejohanan sukan antarabangsa seperti FIFA World Cup Qatar 2022, Formula One, the Wimbledon Championships (tenis) dan Golf Masters. Malaysia Airlines juga telah menjalinkan kerjasama dalam bidang penerbangan dengan Qatar Airways yang mempunyai jaluran penerbangan yang luas dan diiktiraf sebagai satu daripada syarikat penerbangan terkemuka dunia”.

Menurut info dari Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Doha, hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Qatar mula terjalin sejak tahun 1974 lagi. Hubungan ini semakin berkembang setelah tertubuhnya Kedutaan Besar Malaysia di Doha pada Ogos 2004, disusuli dengan pembukaan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur pada September 2004. Hubungan dua hala ini diperkukuh dengan lawatan pada peringkat tertinggi untuk meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi