Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Berhubung dengan video penularan sekumpulan pelajar yang terlibat dalam aktiviti vandalisme di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seberang Perai Selatan (SPS), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memandang serius terhadap isu berkenaan dan memanggil pelajar terbabit bersama-sama penjaganya untuk membantu siasatan lanjut.
Menurut JPN Pulau Pinang dalam kenyataannya pada hari ini, sekumpulan pelajar terbabit telah dikenal pasti dan mereka akan dilibatkan dalam khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi.
Langkah didikan akhlak dan pencegahan segera akan diambil bagi memastikan kes sedemikian tidak berulang lagi.
Pihak pentadbir sekolah pada semua peringkat diingatkan agar mengambil langkah sewajarnya bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian, tegas JPN Pulau Pinang mengulas mengenai isu vandalisme dan gangsterisme yang membabitkan pelajar sekolah itu.
Sementara itu, JPN Pulau Pinang turut mengambil maklum tentang rakaman video tular yang memaparkan perlakuan pelajar merosakkan harta benda sekolah pada hari akhir sesi persekolahan 2022.
Walau bagaimanapun, bagi memastikan kesejahteraan pelajar terbabit, JPN menyeru semua portal yang menyiarkan video tersebut tanpa menutup muka murid disaran untuk memadam kerana bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
“Kempen hentikan vandalisme dan pelan tindakan yang komprehensif akan dipergiat agar selari dengan tujuh teras Kementerian Pendidikan Malaysia.”