Diterbitkan pada 15 Februari 2023, 22:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sentul – Festival Semarak Ilmu 2023 yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sentul, Kuala Lumpur telah berlangsung di HGH Convention Centre Sentul, Kuala Lumpur pada hari ini dengan upacara perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Fadhlina Sidek.

Festival ini melibatkan penyertaan murid yang ramai menerusi pameran Kefahaman Melalui Reka Bentuk Transformasi Sekolah 2025 (KMR TS25) dan disiplin Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Antara aktiviti yang berlangsung pada hari ini termasuklah persembahan daripada johan bercerita, koir, bicara berirama, deklamasi sajak dan gamelan.

Mengulas kepada pihak media, YB Puan Fadhlina Sidek menyatakan bahawa beliau sangat teruja apabila melihat potensi anak-anak melalui persembahan bakat dan karya mereka yang luar biasa. Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa perpaduan merupakan elemen penting dalam pendidikan dan ekspresi madani.

YB Puan Fadhlina Sidek dalam ucapannya berkata bahawa:

Untuk itu, saya isytiharkan semua anak-anak kita pada hari ini ialah duta madani yang akan menerajui pendidikan madani selepas ini.

“Tidak ada tamadun yang mampu berdiri tanpa kekuatan seni dan budaya.”- YB Puan Fadhlina Sidek.

Menurut beliau, apa-apa yang dipersembahkan dan dikongsikan oleh anak-anak pada hari ini merupakan satu mandat yang cukup besar dalam konteks meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan. YB Puan Fadhlina Sidek turut menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia untuk menjadi suara guru dan ibu bapa bagi memastikan potensi anak-anak dapat diteruskan.

Semasa sidang media berlangsung, YB Fadhlina Sidek menyatakan bahawa duta-duta madani ini akan diundang dari semasa ke semasa dengan tujuan memperkenalkan mereka pada pelajar-pelajar dari negeri lain berkaitan dengan potensi dan kaedah untuk menjadi duta madani pada peringkat sekolah.

YB Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia (tengah) semasa sesi sidang media.

Sebagai rekod, Festival Semarak Ilmu ini merupakan festival buat julung-julung kalinya yang dianjurkan oleh pihak PPD Sentul, Kuala Lumpur. Festival ini juga menerima pujian kerana disifatkan sebagai antara festival yang menarik perhatian pelbagai pihak dengan dijayakan oleh semua sekolah di daerah Sentul, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Permuafakatan Ibu Bapa Prihatin, Sentul dan Guru Pewaris Negara, Sentul.

Antara tetamu kehormat yang hadir pada perasmian Festival Semarak Ilmu tersebut ialah YBrs. Puan Radzita Radzi, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengoperasian Pendidikan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, KPM, YBrs. Puan Zainon Harun, Pegawai Pendidikan Daerah, PPD Sentul, Merangkap Pengerusi Pengelola Festival Semarak Ilmu, YBrs. Puan Norhayati Ab Wahab, Pengarah Pendidikan, Jabatan Wilayah Persekutuan, dan YBhg. Datuk Eddie Heng Hong Chai, Pengerusi HCH Convention Centre, Merangkap Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia.

YB Puan Fadhlina Sidek diiringi oleh tetamu kehormat ketika gimik perasmian Festival Semarak Ilmu 2023.
YB Puan Fadhlina Sidek semasa menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Antara barisan guru sekolah di daerah Sentul bergambar kenang-kenangan bersama-sama Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek.

 

 

 

 

 

Antara pameran yang berlangsung di Festival Semarak Ilmu 2023.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi